Thursday, May 3, 2007

Countdown 13 Hari Lagi

TAJUK: ISTERI TAHANAN REMAN
PENULIS: LIZA ZAHIRA


Bahagian 1


Suasana Mahkamah Tinggi menjadi higar-bigar. Wartawan dan juru gambar bergerombolan memenuhkan perkarangan mahkamah demi memagut skop terhebat agar tidak ditukah oleh editor. Terlalai sepincing bererti status mereka akan jadi rapuh. Mereka akan dicop sebagai Wartawan atau Jurufoto cabuk. Satu gelaran yang tidak dikehendaki oleh sesiapa pun.

Untuk itu, manusia-manusia kerdil itu telah bersatu menjadi satu gagasan atau benteng yang dikecam oleh orang yang kurang senang. Orang yang cerita dalam kainnya akan terserlah dek pita rakaman dan lenser kamera. Dan yang paling bencikan mereka ialah Isteri Tahanan Reman (ITR).

Tapi bagi Wartawan dan Jurufoto, itu semua tidak penting. Yang utama mereka mahukan skop. Itu adalah jaminan periuk nasi mereka untuk diri dan keluarga – satu tugas yang di mana-mana pun sama tuntutannya. Mereka bertanggung jawab untuk mendapatkan skop yang sama atau lebih baik daripada akhbar pesaing.

Kebejatan manusia menjadi satu cabang bisnes melariskan surat khabar. Entah kenapa manusia jadi suka pada berita-berita sensasi. Dulu sebelum suaminya ditahan, ITR pun suka membaca kisah-kisah begitu. Tapi kini, tiap pagi menatap surat khabar atau menonton berita hatinya disayat kebencian!

“Cukup! Suamiku tidak bersalah. Dia dianiaya!” Jerkah ITR kepada kelompok manusia kerdil yang tercangak-cangak mencari sudut yang sesuai. Masing-masing terjeda sesaat tetapi sebaik sahaja black maria muncul, mereka berkejar semula. Lupa sudah pada ITR. Tunggang langgang hingga ada yang terjatuh dan patah gigi. Tak apa kalau dapat bonus kerana jualan akhbar laris, boleh buat gigi baru. Teknik crowning boleh digagahi kerana bonus 10 bulan bukan sedikit.

Orang Kena Tuduh (OKT) tertunduk-tunduk menutup muka kerana malu. Kenapa hendak malu? Dia belum didapati bersalah pun. Tetapi sudah pasti dia tetap rasa malu kerana kisah sensasi dan aib keluar di dada akhbar yang dikaitkan terhadap dirinya. Dalam berpusu-pusu, OKT ditolak ke dalam dewan bicara. ITR pun sudah siap berada di situ sejak awal.

OKT menoleh ke arah ITR. Pandangan hiba bertukar menjadi berkaca. Ada air mata yang menitis. “Sabarlah sayang, semua akan berjalan lancar,” ujar ITR kepada OKT. Mereka berdakapan seketika. Peluang begini sangat berharga kerana pada waktu lain, mereka tidak dapat bersentuhan. Terubat rasa rindu dikalbu. ‘Kelompok kerdil tadi mana tahu?’ Jerit hati ITR. Mereka tidak memahami kesengsaraan yang dialami oleh ITR dan OKT. Dalam kepala mereka hanya ada skop dan skop. Itu sahaja!

Tetapi kenapa Wartawan dan Jurufoto berebut-rebut hendakkan skop di situ. Apa istimewanya kes itu? Menurut ceriteranya, OKT ini dulunya adalah orang berpengaruh atau disebut Very Important Person (VIP). Maka sudah semestinyalah dia dikejar lenser kamera dan recorder ke mana sahaja dia berada.

Hakim muncul, dewan senyap sunyi. Pertuduhan dibacakan. Peguamcara dan peguambela memainkan peranan. Apakah perasaan peguamcara dan peguambela pada waktu ini tatkala melihat ITR dan OKT? Mereka pun tidak mahu faham kerana mereka berada di situ demi tugas. Mereka perlu profesional. Perbicaraan tidak mengambil kira perasaan tetapi bukti terhadap tulang-temulang yang sudah rentung!

Malangnya OKT tidak lagi boleh berbicara untuk mengeluarkan ideanya sendiri. Suaranya kini diwakilkan kepada Peguambela yang sebelum ini entah dia kenal entah tidak. Peguambelalah yang akan menentukan nasibnya terbela melalui hujah-hujah yang membunuh pihak lawan. Biar Peguamcara terkehel idea untuk mewujudkan bukti yang munasabah terhadap OKT.

Pada waktu itu nanti, Hakim akan memberi pandangan bahawa wujud keraguan munasabah terhadap kes tersebut dan OKT dibebaskan tanpa syarat. Sehinggalah pihak pendakwa mendapatkan bukti lain dan seterusnya memfailkan semula kes. Tapi kalau dah bebas, bukan mudah hendak menyusun bukti baru. Ramai yang sudah bebas dengan cara ini dan masih lagi belum didakwa.

Itulah harapan ITR. Suaminya tidak perlu menjawab sebarang tuduhan cuma cukuplah kalau pihak peguambela berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Tetapi itu pun tidak enteng juga kerana ITR yang merupakan seorang doktor tahu bahawa episod malangnya akan berterusan.

Orang akan tetap mengecap suaminya “jahat” walau pun tiada pendakwaan yang berjaya dilakukan. Sesungguhnya mahkamah masyarakat lebih menggerunkan berbanding mahkamah tinggi. Stigma buruk akan lekat di hati mereka untuk satu tempoh yang panjang.

- bersambung

Cerita 1:
Mengapa 13 hari lagi? Biarlah saya rahsiakan dahulu tentang apa yang akan berlaku pada 16hb Mei 2007 kerana kita hanya merancang dan ALLAH SWT yang akan menentukan. Walau apa pun saya berharap agar semuanya berjalan seperti yang dirancang. Ia bukan sesuatu yang terlalu istimewa tetapi amat bermakna kepada saya.

Cerita 2:
Tiba-tiba perkataan SPECIAL RUN mulai mengambil tempat di bibir staf Karangkraf sejak pagi hinggalah ke petang tadi. Pelbagai persoalan dan beberapa emel penjelasan telah diterima untuk menenangkan keadaan. Rupa-rupanya special run itu adalah catatan imbangan debit dan kredit dalam payslip. Ingatkan Chicken Run tadi hihihi. Teringat dulu waktu belajar perakaunan dulu, cacatan macam tu dipanggil kontra. Tak tahu pula dah ada istilah baru :)

Cerita 3:
Sudah dua hari saya tidak datang ke PWTC. Tetapi banyak acara yang telah berlangsung dan dengarnya orang ramai tetap berpusu-pusu ke sana untuk mendapatkan buku-buka, majalah-majalah dan hadiah. Memang banyak booth yang menawarkan aktiviti permainan dan cabutan bertuah untuk para pengunjung. Yang penting pokcik boleh tersenyum lebar.

No comments: