Thursday, December 3, 2009

Berlian yang belum digilap

"Berlian hanya seketul batu yang tidak bernilai jika ia tidak ditemui" 

Secara terperincinya, berlian hanya akan 'bernilai' berlian jika ia ditemui oleh si pemburu berlian. Jika ia ditemui oleh orang yang buta akan nilai berlian, ia tetap tidak akan menjadi apa-apa. Hal ini samalah keadaannya dengan bakat yang ada pada diri kita. Jika kita 'si buta' yang tidak kenal nilai bakat kita pasti hidup kita tidak akan jadi apa-apa.
Tapi jika kita mampu mengenal bakat kita, tentu kita akan hidup lebih cemerlang. Contohnya Siti Norhaliza yang sedar akan bakat menyanyi dalam dirinya. Jika dia memilih kerjaya sebagai polis tentu dia akan jadi biasa-biasa sahaja sekarang. Tentu orang Lipis saja yang kenal dia dan bukan kita semua. 
Jadi, cuba cari di dalam diri anda, apakah bakat terbaik yang anda ada. Lupakan tentang kelemahan. Carilah bakat atau kelebihan anda. Insya-ALLAH anda akan temui sesuatu yang luar biasa. Keluarkan berlian itu dan biarkan ia membantu menyinari hidup anda. 
Saya ingin membuat sebuah buku mengenai hal ini. Sesiapa yang ada info atau idea bolehlah bantu saya. Salam hormat.

Wednesday, December 2, 2009

Dalam hati siapa tahu

Sudah lama saya tidak update blog ini. Ini mungkin penangan facebook yang lebih mudah untuk berinteraksi, membuatkan saya teralpa pada blog ini. Tapi hari ini saya dianugerahkan sedikit masa untuk memasukkan entri terbaru ini. 

Dalam hidup ini memang banyak perkara yang tidak kita senangi. Tindakan A mungkin tidak disenangi oleh B. Manakala B pula mungkin tidak senang dengan A. Kita mungkin melihat A tidak betul tetapi A pula mungkin berasakan tindakannya itu betul. Kerana apa yang ada dalam hati A atau B tidak ada sesiapa pun yang tahu melainkan YANG MAHA ESA. Itulah warna-warni kehidupan. 

Sediakan payung sebelum hujan
Saya memang kagum dengan pepatah ini. Kita faham maksudnya tetapi sebahagian besar daripada kita jarang mengambil iktibar. Selalunya kita tidak bersedia hinggalah berlaku sesuatu perkara besar di depan kita barulah kita tersedar bahawa kita terpaksa bertindak. 

Yang pastinya tindakan kita itu pasti dipengaruhi oleh seseorang atau sesuatu faktor. Ia mungkin sahaja faktor fizikal atau malah emosi. Saya ingin memberi contoh senario kehidupan C di atas kapal seperti scene menarik dalam filem Pisau Cukur. 

Kehadiran C di atas kapal hanyalah sebagai kelasi. Tetapi bukan semua orang di atas kapal itu sukakan C. Pada bila-bila masa saja C akan dicampak keluar andainya keadaan memaksa.
Sebagai kelasi, adakah C sudah menyiapkan diri? Pandaikah C berenang untuk meneruskan survival? Mampukah C menyelamatkan diri? Bersediakan C mengharungi badai? Mungkin bila C tercampak, ada kapal lain yang lalu lantas menyelamatkan C dan mungkin C akan dibawa ke daratan yang jauh lebih indah daripada kapal yang C tumpang itu? Bolehkah kita bayangkan rentetan kehidupan C seterusnya? Dan adakah C itu kita?

Seperti yang kita sedia maklum, di laut ada pelbagai kapal hingga kita tidak tahu berapa jumlahnya. Tetapi bila kita sudah berada di sesebuah kapal, itulah dunia kita, itulah hidup kita sampai kita tidak memandang lagi kapal lain. Kita tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya hingga kita mencurahkan segala jiwa raga di atas kapal itu. Malah selalunya upah yang diberi akan kita belikan makanan yang berkhasiat dan enak agar esok kita boleh bekerja dengan lebih kuat lagi. Namun, ada satu perkara yang kita tidak boleh lupa bahawa selagi kita menjadi kelasi, taraf kita ialah KULI. Sama ada suka atau tidak, akan tiba masanya kita diminta pergi. 

Usah ditanya kenapa kita dan bukan orang lain meskipun orang lain itu sebenarnya 'tin kosong'. Ingat, selalunya 'tin kosong' sangat penting untuk memeriahkan suasana yang suram. Bersyukurlah kita tidak menjadi 'tin kosong' kerana kita tahu nilai dan maruah diri kita. 

Yang pasti selagi kita masih bergelar kelasi, berbaktilah sebaik-baiknya. Tetapi andai kita terpaksa pergi, anggapkah segala pengalaman yang kita lalui dulu sebagai panduan untuk kita menjadi manusia yang lebih hebat pada masa depan. Mungkin sewaktu kita menjadi kelasi dulu kita tidak sedar betapa besarnya bakat kita dalam bidang lain kerana kesibukan memenuhi tuntutan tugas. Mana tahu kelak, kita mampu mengemudikan kapal kita sendiri? Kita tidak akan tahu selagi kita takut hendak berubah buat kata Billy Lim - Dare to change!

Salam hormat,
- Liza Ali