Wednesday, January 20, 2010

Kenangan sedih bersama ibu

Lama dia termenung. Dia mulai terfikir bahawa kepulangannya hanya sia-sia. Malah dia telah membuatkan Shakira lebih terluka dan membencinya. Sepatutnya , dia tidak pulang dan Shakira pula sebaiknya tinggal dengan Datuk Walid kerana masa depannya akan lebih terjamin di sana.
Dia menyesal, tetapi segala-galanya sudah terlewat. Dia sudah terlanjur dan dia perlu menanggung akibatnya. Dia menyarung pakaian ke tubuh kurusnya. Kemudian, menyisir rambutnya yang mulai beruban. Perutnya semakin berkeroncong lalu segera dia teringatkan ubi rebus yang belum dijamahnya. Dia ke dapur untuk membasuh tangan sebelum duduk bersimpuh di depan tudung saji.
Tatkala dia sedang mengangkat tudung saji, Shakira melangkah masuk lalu duduk bersimpuh di hadapannya. "Mak baru nak makan?"
Rosmah mengangguk. "Marilah temankan mak."
"Dah kenyang, mak makanlah."
Sejurus tudung saji dibuka, keempat-empat mata terbeliak. Rosmah dan Shakira terkejut melihat semut penuh berkerumun di atas ubi dan air kopi.
"Ya ALLAH, lupa yang rumah ni banyak semut. Patutnya Ira simpan atas dapur." Shakira rasa bersalah.
"Tak apalah, dah bukan rezeki mak. Ada lagi ke ubi lain dalam periuk?"

- Seindah Sakura m/s 62


Cinta terhalang antara Shakira (pelajar) dan Airil (guru)

Shakira: Kalau Ira kata Ira nak bayar balik, Ira tetap akan bayar. Kalau abang tak nak duit tu, abang boleh buang saja ke longkang!

Airil: Tak guna Ira lepaskan kemarahan pada abang dengan cara bodoh macam tu. Abang cuma mahu Ira berjaya dan bahagia. Itu saja!

Shakira: Tapi Ira tak bahagia!

Airil: Kenapa Ira menangis ni?

Shakira: Ira sakit hati bila abang tuduh Ira yang bukan-bukan. Hina sangatkah Ira di mata abang? Ira tak bersalah. Semua tu Anida yang rancang! Anida fitnah Ira!

Airil: Sudahlah tu. Jangan difikirkan lagi perkara yang dah lepas. Yang penting, Ira kena teruskan perjuangan. Walau pun Ira sebatang kara di sini, tapi Ira mesti hadapinya dengan tabah. Ira kena jadi contoh pada anak-anak yatim yang lain.

Shakira: Mana boleh Ira diam? Ini tentang maruah Ira!

- Seindah Sakura m/s 128

Masihkah ada cinta buat Shakira?

Shakira: Ira tak mahu lagi memikirkan soal hati kerana perasaan Ira dah lama mati!

Nadrah: Cinta Airil akan menjadi lilin yang menerangi hidupmu.

Shakira: Alangkah baiknya kalau ia berlaku lapan tahun yang lalu tapi semuanya sudah punah.

Nadrah: Orang yang membunuh semangatnya sendiri adalah orang yang paling kejam...

Shakira: Kak, Ira tak betah untuk bangkit kembali mengharungi hidup dalam percintaan. Ira rela sendirian sama seperti akak!

Nadrah: Jangan jadi bodoh! Kamu masih berpeluang menikmatinya. Bukalah hatimu dan terimalah dia! Antara kamu tak ada halangan!

- Seindah Sakura m/s 479

SEINDAH SAKURA













Sinopsis: SHAKIRA terumbang-ambing akibat kemiskinan hidup dan hilang tempat bergantung. Airil yang hadir dengan perspektif negatif terhadap gadis itu, akhirnya berubah mencintainya dalam diam. 

Sukar bagi Shakira untuk bahagia, lantaran ada hati yang dengki dan merancang balas dendam. Hati hitam milik Anida berjaya membuatkan cinta Shakira dan Airil ter halang hingga lelaki itu membawa diri meninggalkan Shakira terkapai-kapai keseorangan. Sejak itu, satu per satu badai datang melanda hingga hidup gadis itu tidak menentu. 

Di universiti, Shakira menemui cinta baru, tapi malangnya dia sudah jadi milik orang lain. Demi kasih pada ibu, dia rela berkorban biarpun hatinya hancur bagai kaca berderai ke bumi. 

Shakira cuba menjadi SEINDAH SAKURA meskipun harapan untuk mendapatkan kembali cinta sejati semakin mustahil. Namun, dia perlu percaya pada jodoh yang telah tersurat untuknya. Mungkin kita sengaja dipertemukan dengan cinta yang salah agar kita bersyukur setelah mendapatkan cinta yang sebenar..