Saturday, February 13, 2010

Hidup biar berbaloi

Ramai orang di sekeliling kita punya keinginan dan idea untuk menghasilkan sesuatu yang baru atau sekurang-kurangnya menulis di atas kertas dan menulis lagi helaian seterusnya hingga berjumlah 500 muka surat lalu dihantar ke penerbit. Tetapi keinginan saja tidak cukup. Yang penting ialah tindakan. Ada orang tidak begitu banyak idea tapi ia tetap meneruskan langkah. 
Orang itu hanya bermodalkan keberanian dan tekad untuk berjaya atau sekurang-kurangnya berubah. Langkah pertama untuk langkah seterusnya memang perlu diambil. Tidak akan jalan singkat. Tapi bukan dengan menindas orang lain!

Bertindak!
Ayuh teman-teman, peluang kini sangat terbuka. Manuskrip anda atau idea ada mungkin mempunyai nilai yang tidak terhingga. Anda cemburu melihat orang berjaya tetapi anda tidak mahu mengikut tindakannya. Itulah sikap yang tidak sepatutnya ada. 
Bagaimanapun jangan bertindak membabi buta yang akhirnya anda akan kecewa. Buatkan kajian, bertanyalah orang-orang yang tahu dan internet ya internet jangan diabaikan. Carilah sumber, tengok macam mana orang buat, belilah buku yang berkaitan sebagai pelaburan, pergilah kursus untuk menambah ilmu. Semua itu perlu untuk menjadi rencah kejayaan anda. 

Usah berputus asa!
Saya telah menulis 5 buah novel, sudah menjadi wartawan sejak berusia 22 tahun. Tapi saya masih lagi belajar tentang penulisan berkualiti. Saya telah menjadi editor sejak tahun 1998 hingga kini. Saya masih lagi berusaha mencemerlangkan majalah saya (Pa&Ma) dan saya masih lagi belajar untuk menjadi novelis bestseller! Saya belajar menulis skrip...saya belajar...untuk menjadi orang yang berhasil. Tidak ada istilah cukup makan dalam hidup saya. 
Saya tidak bermimpi menjadi terkenal. Cukuplah karya-karya saya saja yang dibaca. Tapi untuk mencapai segala-galanya tidak mudah. Saya sudah lalui pelbagai cabaran, suka dan duka. Saya pun manusia normal seperti anda semua, ada keluarga dan ada sifat malas!
Tapi semua itu bukan alasan untuk saya duduk berdiam diri. Kalau saya diam bererti saya berfikir, kalau saya bergerak bererti saya berkerja sambil berfikir dan kalau saya tidur bererti saya bermimpi sambil berfikir. 
Begitulah hakikatnya dalam kehidupan. Tiada istilah relaks. Kita kena berusaha dan berusaha. Usah bergantung pada satu sumber. Pelbagaikan pengetahuan dan pendapatan kita. Jadilah manusia yang berhasil dan hidup biar berbaloi.

Nota: Terima kasih kepada para peminat novel yang sudi menyokong Seindah Sakura - saya tulis ia dengan sepenuh jiwa raga saya sebagai pedoman untuk para remaja dan wanita umumnya. 

Liza,
Shah Alam
13 Feb 2010.