Monday, December 21, 2015

Emas dan Tipu Daya


Penulis LIZA ALI
facebook.com/lizaalidotcom
Tawakallah.blogspot.com


DUA TAHUN LALU CERITA EMAS SANGAT INDAH. SAAT ITU MUNCUL TOMAN-TOMAN EMAS DARI TASIK DAYANG BUNTING ATAU TASIK BANDING

Tahukah anda, bahawa memegang emas itu adalah lambang kekayaan sebenar dan tulen? Memang kedengaran macam kg.com atau kampungan. Tapi itulah ilmu yang diajar oleh orang tua-tua dulu yang sangat berharga yang kita perlekehkan. Bila duit kita sudah jadi duit rupiah, rupee atau duit pisang nanti baru anda akan sedar betapa PENTING simpan emas! Masa itu kalau anda baru hendak terhegeh-hegeh beli emas, anda akan sedar bahawa wang kertas anda sudah tidak bernilai.
               
Emas vs inflasi
Emas tidak terjejas akibat inflasi atau dengan kata lain nilainya tidak susut. Ya, ia mungkin turun sedikit akibat kemelesetan ekonomi tapi ia tidak pernah turun pada harga 10 tahun dulu. Ertinya harganya tetap tinggi berbanding dulu. Jadi, bagaimana mahu memastikan yang simpanan atau pelaburan kita selari dengan perkembangan semasa ekonomi tanpa menyusutkan nilainya? 

Jawapannya sangat mudah iaitu simpan emas bukan duit! Sebagai contoh, pada zaman   S.A.W, harga seekor kambing adalah satu dinar. Pada masa sekarang harga kambing tetap kekal satu Dinar atau lebih kurang RM690-RM740. Jadi, cepat-cepat mulakan simpanan anda dengan satu dinar setiap bulan jika boleh.
                
Emas paling selamat
Kata orang kalau ada duit dalam bank macam-macam perkara akan terlintas dalam kepala kita. Hendak tas tangan LV terkinilah, hendak ubah suai rumahlah dan macam-macam lagi kehendak yang tiba-tiba menjadi macam penting. Tapi kalau kita sudah tukarkan ia kepada emas, jarang kita mahu memperlekehkan emas kita itu. Otomatik kita akan lebih berdisiplin dan tidak akan “mencairkan” emas dengan sewenang-wenangnya. Kita hanya akan ke pajak gadai kalau anak kita nak sambung belajar atau kita ada keperluan yang benar-benar mendesak.
              
Di mana ada gula di situ ada semut
Bagaimana pun, sisi buruk tentang emas akhirnya meletup. Bagaikan dilanda musibah dan disumpah tujuh keturunan, maka ramai di kalangan orang kita terpedaya dengan dakyah-dakyah toman darat yang muncul di sebalik kehebatan emas. Pelbagai skim dan pelaburan muncul dengan niat mahu memperdayakan orang ramai. 

Ada yang menggunakan status sebagai koperasi untuk menggaburi mata pelabur. Bahkan sanggup menjual agama untuk menggaburi mata orang ramai. Akibatnya ramailah yang terduduk malah tertiarap. Puluhan, ratusan dan jutaan ringgit hilang sekelip mata. Sedangkan para pengelola hidup bermaharajalela. Bahkan ada yang masih bergiat aktif dengan menyelinap menggunakan medium fb untuk mencari mangsa lagi.

Emas hanya fizikal
Apa pun cara orang berniaga emas, percayalah hanya pembelian secara fizikal sahaja yang tulen dan berkat. Tiada siapa yang mahu dirinya ditipu tapi cubalah untuk beringat dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum anda menyerahkan wang ke tangan orang lain. Sekali wang anda sudah berpindah tangan, tidak mungkin ia kembali lagi. Nasihat saya simpanlah emas cara orang tua-tua kita.  Usah terpedaya dengan pulangan berlipat kali ganda. Wallahualam.
Beli emas dapat emas. Elakkan dari pembelian tertangguh yang menawarkan hibah.
                
Contoh kepingan emas atau goldbar.


Sunday, December 20, 2015

PERGI HAJI PERCUMA


Penulis LIZA ALI
lizazahira@gmail.com
facebook.com/lizaalidotcom
Tawakallah.blogspot.com

Saat ini sudah tanggal 20 Disember 2015 bersamaan 8 Rabbiulawal. Empat hari saja lagi, Maulidurasul. Allahummasallialah saidinamuhamad, waalaalihimuhammad. Semakin hari jiwaku merintih mahu menunaikan haji tahun hadapan. Aku sedang mengira-ngira bajet dan cara bagaimana mahu ke sana. Sama ada dengan Tabung Haji atau swasta. Bila dicongak-congak, aku belum mampu membiayai perbelanjaan melalui swasta. Apatah lagi aku perlu ada mahram. 1+1 = 2. Maknanya 'double'. Argh....memang di luar kemampuan. Aku hanya 'freelancer' cabuk.

Jika diikutkan 'booking' dengan TH, giliranku ialah pada tahun 2016+10=2026. Bagaimana mahu buang yang 10 itu agar aku dapat pergi tahun hadapan? Aku baca soalan seseorang dalam FB TH. Dia bertanyakan soalan yang sama seperti aku. Mahu pergi cepat. Maka jawapan TH - satu-satu cara ialah tulis surat dan hantar pada cawangan TH.

Timbul persoalan, mahukah mereka menyantuni permintaanku? Apatah lagi dengan jumlah simpanan dalam TH pun belum cukup untuk bajet muasasah. Apakah aku ini kategori belum mampu? Benarkan duit itu sangat penting untuk naik haji? Bahkan apakah tidak ada benda lain yang lebih penting selain yang satu lagi iaitu kursus haji?

Foto Kredit: Twitter
Rasulullah dulu pergi haji. Para sahabat pun pergi haji. Sempurna haji mereka dan percuma! Baiklah aku tahu permintaan aku melampau! Orang mungkin kata, mana ada haji percuma? Pergi haji kena ada sekurang-kurangnya RM10 ribu.

Baiklah, apakah duit menjamin anda dapat menunaikan haji? Ramai saja yang ada duit tapi tak sempat menunaikan haji. Ada yang sudah dalam perjalanan tapi menemui ajalnya sebelum sempat selesai haji. Jelas bukan? Haji itu bukan duit dan duit itu bukan haji.

(Sebak) Aku serahkan pada Allah S.W.T. Moga Dia  menjemputku ke sana dan aku akan tetap ke sana walau dengan apa cara sekali pun. Insya-ALLAH.

Saat aku menghabiskan kalam ini, azan isya' berkumandang. Moga Allah makbulkan permintaanku. Ameen.

Friday, December 18, 2015

Menjejak Si Cantik Lupin

Catatan 1

Penulis LIZA ALI
lizazahira@gmail.com
facebook.com/lizaalidotcom
Tawakallah.blogspot.com

Salam Hormat dan salam Jumaat,
Moga anda semua mendapat barokah daripada Allah S.W.T. 

Hari ini saya ingin berkongsi sebuah kisah perjalanan yang singkat tetapi amat bermakna. Pada 21 hb November 2015 yang lalu saya telah berkesempatan ke New Zealand. Alhamdulillah, negara itu memang indah khabar dan rupa. Negaranya sangat cantik dan bersih. 

Hari pertama di sana, saya sudah disajikan dengan pemandangan bak syurga.  Lupin di tasik Tekapo. Masya-Allah quawataillahbillah.

Bagaimana lupin ini boleh hidup begitu subur? Bunganya sebesar lengan dewasa. Saya dan kawan-kawan speechless. Kami menjerit dan bertasbih, Subhanallah, Subhanallah! Subhanallah! Air tasik yang membiru dengan berlatar belakangkan Gunung Cook yang bersalji di puncaknya. Di tebing itu bunga lupin bertaburan di merata-rata. Saat itu terkenangkan sebuah ayat:

Allah subhanahu wa ta'ala berfirman...

"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu". Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya." Al-Baqarah: 25



Untuk gambar yang lebih profesional di sini saya kongsikan gambar kredit National Geographic.

Lupin atau nama saintifiknya Lupinus sebenarnya boleh dimakan. Ada 200 species Lupin di dunia ini dan ia merupakan keluarga kekacang. Lupin telah menjadi makanan manusia sejak lebih 3000 tahun lampau. Lupin putih Eropah (Lupinus Albus) merupakan kacang yang dijual dalam balang (seperti buah zaitun dan jeruk). Boleh dimakan dengan atau tanpa kulit. Hidangan Lupin paling biasa dijumpai di Eropah, terutama di Portugal, Sepanyol, Greece dan Itali. Sama seperti Brazil dan Mesir. 

Di Mesir, lupin dikenali dalam bahasa Arab sebagai ترمس Termes, dan snek yang popular di jalan selepas dibilas dengan air mengalir untuk menghilang alkoloid. Untuk lebih enak ia dimasak atau dipanggang. Di Portugal, Sepanyol, dan Sepanyol Harlem, mereka popular dimakan dengan bir. Di Lubnan, Jordan, Syria, Israel dan Palestin, kacang Lupin masin dan sejuk dipanggil Termos dan dihidangkan sebagai sebahagian daripada minuman beralkohol atau makanan ringan. 

Andean lupin atau tarwi (L. mutabilis) merupakan makanan yang meluas di Empayar Inca. Lupin turut digunakan oleh ramai orang asli Amerika seperti Yavapai di Amerika Utara. Lupins dikenali sebagai altramuz di Sepanyol, yang meminjam kata asal Termes dalam bahasa Arab ترمس. Kacang lupin digunakan untuk makanan yang berbeza, dari sosej sayur, tauhu atau tepung. Kacang ini mempunyai persamaan dengan kacang soya dan mempunyai potensi untuk dimajukan.
Kandungan proteinnya mirip dengan kacang soya tetapi kandungan lemaknya rendah. Ia juga bebas-gluten dan tinggi dalam serat, asid amino dan antioksidan serta boleh dianggap prebiotik. Lebih 85% lupin dunia ditanam di Australia Barat.



Nota: Pertama kali melihatnya tidak sangka ia boleh dimakan. Tetapi bila melihat kecantikannya dan terbau keharumannya, rasanya tidak tergamak hendak makan. Kecuali kalau dah terhidang seperti dalam gambar di atas. (Hehe)

Friday, October 16, 2015

Hai, Liza di sini:

Setelah lama menyepi, hari ini saya kembali untuk bersama-sama anda demi sebuah perkongsian yang bermanfaat, insya-Allah.

Saudara/i, saya kini sedang menyiapkan sebuah E-book mini mengenai Bagaimana Membangunkan Bisnes Online yang Menguntungkan.

Di dalamnya nanti saya akan share beberapa teknik dan cara untuk anda memulakan bisnes online tanpa perlu bersusah-payah mencari seperti yang pernah saya lakukan dulu.

Saya akan ajar anda bagaimana hendak 'memancing di kolam yang banyak ikan.' Kita akan berseronok dan teruja dengan paparan itu kelak.

E-book mini ini akan saya berikan secara PERCUMA. Saya akan nyatakan tarikh bila ia akan diberikan secara percuma. Alert Fb saya juga.

Hingga berjumpa lagi,
Liza Ali
Rich Ideas Resources.