Friday, June 8, 2007

9.6.96 Tarikh Keramat

Ulang tahun ke-11

Maaf entry untuk Beijing tidak dapat saya sambung kerana beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Insya-ALLAH kalau ada kesempatan akan saya luangkan masa.

Saya yakin semua orang ternanti-nanti tarikh 9.6 yang akan muncul esok. Ramai yang teruja kerana Pak Lah akan bernikah untuk kali kedua. Namun, yang lebih teruja tentulah saya kerana esok adalah tarikh keramat saya diijabkabulkan bersama suami tercinta. 9.6.96 tarikh yang sengaja dipilih demi merealisasikan impian sepasang kekasih pada 11 tahun lalu.

Pejam celik tidak sangka perkahwinan kami menginjak ke angka 11. Rumah tangga kami diperkukuhkan lagi dengan kehadiran seorang Puteri yang bernama Puteri Liza Zahirah yang kini berusia 10 tahun. Wujudnya satu-satu penyeri rumah tangga ini memang ada pro dan kontranya. Tapi ternyata setakat ini kami senang begini. Belum lagi merancang untuk punya anak kedua. Ada kala si Puteri kerap mendesak agar kami mencarikan adik untuknya.

Tahun ini saya sudah mencecah 35 tahun dan suami 42 . Kalau saya punya bayi lagi pasti si Puterilah yang akan menanggung adiknya kelak. Jadi, buat masa ini kami masih belum mengubah fikiran. Tetapi andai kata, sudah rezeki untuk tambah seorang dua lagi, kami redha. Buat yang selalu bertanya, "Tak nak tambah lagi ke?", itulah jawapan kami.

Akhir kata, salam hormat dan Selamat Pengantin Baru Pak Lah & isteri.