Monday, May 7, 2007

Countdown 9 hari lagi

Bahagian II

PULANG
Selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, ITR pulang dengan ditemani oleh anak-anaknya. Dia lega kerana anak-anak memberikan sokongan padu padanya. Mereka memang anak-anak yang tabah. Kalau dirinya sendiri terpaksa menerima aib pada waktu yang muda begitu, tidak tahulah apa yang akan dia lakukan. ITR memang bertuah kerana ada anak-anak yang kuat.

“Lepas ni mama tidak akan memberi sebarang kerja sama dengan mereka. Dulu masa mereka mahukan bahan berita, mereka jumpa kita elok-elok Tapi bila dah jadi macam ni, mereka sanggup tulis yang buruk-buruk!” Tidak habis-habis ITR merungut. Dia masih tidak puas hati dengan layanan kumpulan Wartawan dan Jurufoto terhadap suaminya.

“Mama, kita dah tak boleh sorok lagi benda ni. Semua orang dah tahu.” Ujar Wanda yang berwajah muram. Sebagai anak sulung, Wanda perlu menunjukkan ketabahan. Adiknya Wanie, sudah lama lenyap di bilik sendiri.

ITR mengeleng tanda tidak setuju, “Tak. mereka tak boleh tahu. Mereka tak boleh jual cerita ni untuk melariskan surat khabar. Mereka kena lebih adil terhadap kita! Masyarakat perlu dididik untuk lebih beradab!

“Tapi sebelum ini pun kita tak kisah kalau berita macam tu keluar dalam akhbar.

Benda macam ni memang sudah jadi mainan media.” Wanie cuba bersikap terbuka.

“Tapi sekarang bila dah jadi pada kita, mama tahu rasa peritnya. Mama tahu rasa derita. Wanda tahu tak apa yang mama rasa ni?” Sergah ITR dalam nada sebak.

“Wanda tahu mama. Wanda pun macam mama. Wanie pun sama juga. Kami memang sedih. Tapi, sabarlah mama. Kami tahu papa tak bersalah. Papa akan dibebaskan!”

“Ya, papa akan dibebaskan tapi semuanya tidak akan macam dulu lagi Wanda.”

“Ma, lebih baik kalau kita tak macam dulu. Sebelum ini, mama sibuk, papa pun sibuk. Wanda dan Wanie terpaksa cari haluan sendiri. Tetapi lihat! Sekarang kita bersatu. Kita macam sebuah keluarga semula.”

“Wanda suka papa ditahan?”

“Siapalah yang suka papanya ditahan. Tapi kita ambil perkara ini sebagai iktibar. Mungkin sebelum ini kita lupa bahawa banyak waktu yang kita habiskan untuk mengejar dunia. Wang tak pernah cukup, mama. Tanyalah papa, pernahkah papa kata dia dah ada wang yang cukup lalu dia mahu bersara dan berehat?”

“Kenapa kamu cakap macam orang sasau ni, Wanda? Kalau tak ada wang, macam mana kita nak pakai kereta Mercedes 300 series? Macam mana kita nak duduk rumah banglo empat tingkat ini, Wanda?”

“Itulah yang Wanda cakap. Wang memang tak pernah cukup. Tak apa kalau kita terpaksa jual semuanya. Kita pindah ke rumah teres setingkat yang sederhana. Tidak perlu kita duduk setingkat seorang macam sekarang. Di rumah pun kena guna intercom kalau nak berbual. Wanda tidak mahu hidup macam tu.”

“Jadi, Wanda suka kita hidup dalam keadaan aib? Tak malu ke dulu kita hidup mewah tetapi akhirnya merempat?”

“Mama sayangkan papa ke tak?”

“Mama dah macam separuh gila ni, Wanda masih nak tanya mama soalan tu?”

“Okey kalau macam tu, kita pindah.”

“Pindah mana?”

“Ke rumah sewa yang papa beli di Kelana Jaya”

“Rumah sebelah masjid tu?”

“Ya, mama tak suka?”

“Memanglah tak suka. Kamu tahukan mama ni kerja macam mana? Dah subuh tulah mama baru nak terlelap. Tapi kalau bising macam mana mama nak tidur?”

“Mama, bising mana lebih menyakitkan? Berita tentang papa atau suara azan?”

“Tentulah berita tentang papa, kamu ni kenapa tanya mama yang bukan-bukan?”

“Mama, Wanda nak ajak mama kembali ke jalan ALLAH. Mungkin kita dah terlalu jauh terpesong. Memang ada hikmahnya kejadian ini. ALLAH suruh kita berfikir dan sentiasa kembali kepada ajaran al-Quran.

“Ah, sudahlah. Mama penat ni. Mama nak tidur.”

Wanda terkesima. Dia tidak sangka hati ibunya masih keras walau pun sedang diberi dugaan yang sangat besar ini. Apalah salahnya kalau ibunya merendahkan hati dan menyerahkan jiwa kepada ALLAH agar memohon diberikan petunjuk dan perlindungan. Andainya mereka dianiaya, semoga ALLAH akan menunjukkan kebenaran.


Bersambung

Cerita 1
Tinggal 9 hari lagi untuk saya buat persiapan. Tapi kerana kerja yang bertimbun, saya tak mampu nak fikirkannya.

Cerita 2
Dua hari tidak sempat singgah di blog. Memang letih bila terpaksa bertugas 7 hari seminggu. Hari Sabtu saya ke PWTC, kesian anak yang demam hendak ikut juga. Malam, panasnya sangat tinggi. Hari Ahad terpaksa tinggalkan dia kerana bertugas di Majlis Hari Ibu majalah Keluarga di Prince Hotel, Jalan Conlay. Demam panas anak semakin tinggi. Saya pula diserang cirit birit. Isnin sudah tidak bermaya. Saya dan anak dapat MC. Risau kalau denggi tapi alhamdulillah petang tadi suhu badannya sudah turun. Tapi walau pun MC terpaksa jugak pergi jumpa client (Cellsafe) di Mid Valley sebab dah buat appointment. Berbincang sambil menahan sakit perut....hmmm..harap-harap dia akan sign-up.

No comments: