Saturday, April 18, 2009

Pesta Buku & majlis penyampaian hadiah

Pesta Buku Antarabangsa kembali lagi. Mulai 17 - 25 April ini PWTC akan dibanjiri oleh peminat-peminat buku dan petugas-petugas gerai yang menjual buku dan majalah. Karangkraf & Alaf21 turut terbabit seperti biasa. Jangan lupa singgah di gerai kami di level bawah dan atas seperti tahun lalu. Sayang gerai tidak sekumpul seperti 2 tahun lalu. Pa&Ma turut mengadakan game menarik untuk pembeli Pa&Ma Mei dan buku khas Penjagaan Ibu & Anak. Jadi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan harga yang menarik.

Kepada peminat novel Liza Zahira, anda boleh bertemu saya Ahad ini dan Ahad depan. meskipun dalam jadual saya hanya berada pada hari Jumaat (semalam) tetapi saya tetap berada di hari-hari lain untuk memberi sokongan.

Untuk pemenang kuiz, saya masih belum mendapatkan ruang untuk mengadakan majlis penyampaian hadiah yang saya ingin sangat anjurkan. Pada asalnya saya ingin adakan pada waktu Pesta Buku tetapi memandangkan hambatan waktu, mungkin lebih baik diadakan selepas Pesta Buku di tempat yang lebih santai. Saya harap para pemenang akan bersetuju. Kepada yang tidak dapat hadir nanti, saya akan poskan hadiahnya.

Saya pun terima komen dari kak Salbina yang sudah ada keempat-empat novel saya. Insya-ALLAH, akak boleh namakan novel penulis lain sebagai ganti. Saya tidak ada halangan. Kepada yang lain harap bersabar sedikit masa lagi kerana hambatan waktu membuatkan saya masih gagal menentukan tarikh sebenarnya penyampaian hadiah itu. Tidak ada niat di hati untuk mengelak kerana saya boleh mengirim sahaja hadiah itu tetapi seeloknya kalau ada satu majlis ringkas tentu indah.

Saya turut ingin menjemput orang-orang penting di Alaf 21 dan Alaf21 fc untuk memeriahkan majlis berkenaan kelak.

Bali (12-16 April 2009)
































Assalammualaikum wrt,
Akhirnya kaki saya menjejak tanah Bali pada minggu lalu. Empat hari sebenarnya tidak cukup untuk melihat, memahami dan memberi komen yang adil tentang Bali. Cuma pada saya, cuacanya hujan dan panas (lebih panas dari Malaysia) membuatkan ada kala saya rasa rimas. Tetapi bila berada di tanah tinggi seperti Kitamani & Bedigul keadaan lebih nyaman. Kalau hendak bercerita tentang Bali memang panjang tetapi pada masa yang terhad ini saya menyatakan yang saya lebih senang dengan suasana laut Malaysia berbanding Bali. Meski pun di sini kita boleh melihat para peluncur meliuk lentuk di atas puncak ombak menguji skil masing-masing. Saya turut berpeluang menaiki bot kaca untuk melihat karang & hidupan laut. Hmmm...tapi pada saya Tioman lebih indah.

Memang mengujakan bila waktu kita sama. Jadi, bila sampai di sini anda tidak perlu menukar waktu. Cuma bezanya matahari cepat lebih kurang 2 jam. Subuh jam 4.00 pagi dan maghrib jam 5.00 ptg. Masjid tidak banyak di sini kerana penduduk Islam hanya 10 %. Selebihnya Hindu dan ada sedikit Budha (kaum Cina yang biasanya menjadi taukeh-taukeh restoran dan gedung-gedung besar).

Di sini suasananya aman dan anda bebas berjalan siang & malam. Pusat-pusat spa tumbuh bagai cendawan lepas hujan tetapi sekali lagi pada saya urutan di Malaysia jauh lebih enak. Jadual perjalanan memang ketat menyebabkan saya dan keluarga gagal bermalas-malasan di pantai sedangkan itulah kegemaran kami...berenang, bersnokling dan bermain pasir.

Mungkin kami akan ke sini sendirian tanpa kumpulan kerana acaranya tentu akan lebih bebas dan peluang untuk bersantai atau ber'island hoping' lebih panjang. Apa pun, Bali tetap indah buat penggemar seni kraf. Penduduknya sangat komited menghasilkan kraf yang sangat halus dan indah.

Paling menarik bagi pelancong Malaysia di sini ialah 'shopping'. Apapun, pada saya kalau bershopping sakan tentu paling seronok dan sesuai di Bandung, Jakarta dan Padang. Insya-ALLAH saya akan ke Padang untuk mendapatkan busana muslimah yang berkualiti pada harga yang sangat berpatutan. Seterusnya agenda saya ialah hendak menunaikan Umrah (insya-ALLAH) tahun depan. Ya Rahman Ya Rahim, jemputkan aku sekeluarga sebagai tetamu-Mu. Amin.

Pencarian Rohani & jejak sejarah
Memandang wajah-wajah melayu di sana hati menjadi sayu. Bali adalah tinggalan orang-orang besar kerajaan Majapahit yang lari selepas penjajahan Belanda di Indonesia. Masihkah anda ingat tentang kisah Parameswara yang datang ke Tanah Melayu dan membuka Melaka? Parameswara berasal dari kerajaan Majapahit dan merupakan penganut Hindu (Alhamdulillah, syiar Islam sampai di bumi tercinta ini dan Parameswara serta rakyat jelata beriman kepada kepada ALLAH SWT hingga dapat dinikmati oleh kita semua hari ini).
Orang melayu di Bali sangat patuh pada ajaran agama mereka iaitu Hindu dan sangat menghormati tetamu. Bayangkan kalau Islam tidak sampai di Tanah Melayu, maka mungkin keadaan di Bali adalah cerminan kehidupan kita dahulu kala hingga kini. Di Bali ada jalan Hang Tuah dan tempat yang bernama Ulu Melaka. Sebab itulah, hati saya terasa sangat dekat dan sayu. Alangkah indahnya jika kita semua bersaudara...