Sunday, April 29, 2007

Bila anda menulis?

Masa & Ruang

Bila anda menulis? Selepas anak-anak tidur atau sebelum mereka bangun dari tidur? Adakah anda menulis di tengah malam atau pada waktu subuh? Adakah anda menulis sebelum anak-anak ke sekolah, selepas anak-anak pulang dari sekolah atau sewaktu mereka berada di sekolah? Di mana anda menulis? Di dalam pejabat, di bilik hotel atau di bawah pohon yang rendang?

Jika anda bertuah, anda boleh memiliki tempat yang khas dan tidak diganggu. Jika tidak, anda hanya akan menulis apabila ada berpeluang melakukannya. J.K Rowling menulis di Kedai Kopi Edinburgh sewaktu bayinya sedang lena. Penulis British, Magnus Mills yang menulis novel The Persistence of Beasts pernah bekerja sebagai pemandu bas. Mills menulis rangka ideanya di belakang borang kerja lebih masanya sewaktu basnya berhenti di lampu isyarat (merah)!

Dalam buku bertajuk In Becoming A Writer, Dorothea Brande mencadangkan satu latihan: Ambil satu masa dan duduk serta menulis setiap hari. Jika berhari-hari anda masih gagal melakukannya, bererti anda sanggup mengutamakan hal lain berbanding menulis. "If you fail repeatedly at this exercise, give up writing!"

Anda perlu menanam disiplin dalam meluangkan masa berharga anda setiap hari untuk bekerja keras. Jadi, memang logik kalau anda anggap tugasan menulis sebagai satu daripada kerja harian atau urusan bisnes! (Diterjemah dari buku The Writer's Mentor)

Pulang dari PWTC hari ini, semangat untuk menulis sesuatu terus membara. Saya perlu meluahkan perkara yang terbuku di hati. Saya perlukan motivasi. Lalu saya ambil kembali buku yang dah bertahun-tahun di rak buku iaitu The Writer's Mentor. Buku itu saya tatap dan temui perkara yang hendak saya ketengahkan iaitu semangat MENULIS SETIAP HARI!

Mengapa hal ini timbul? Pertama, saya bertemu dengan peminat novel dari Singapura, Puan Salmah Ismail. Beliau telah menitipkan kata-kata yang amat bermakna buat saya. Beliau benar-benar menghayati novel saya, Bahtera Kasih. Dalam hati saya berkata, "Oh, Tuhan saya berasa sangat bahagia dan terharu!" Ternyata beliau telah meniupkan semangat untuk saya terus berkarya. Terima kasih Salmah.

Kedua, saya duduk di sebelah penulis baru, Meen Zulaikha. Seorang ibu yang sudah punya anak remaja dan suri rumah tangga. Beliau bertanya, bila masa saya menulis? Saya menjawab, "Malam dan hujung minggu." Benar, tetapi saya akui bukan SETIAP HARI! Tetapi saya sedar itu BUKAN standard sebenar seorang penulis. Saya tidak mahu berhenti daripada menjadi penulis. Sebelum ini saya menulis mengikut kesempatan ruang & waktu. Jadi, saya perlu menulis SETIAP HARI! Ya ALLAH, Perkenankanlah!


1 comment:

Mersik said...

Kak Liza, nahh.. makanya..diblog ini, tulis dong hari2..walau sekadar membalas sapaan. hahaha

Oh! tiba2 sy rasa tempias semangatnya.. mari kita menulis.. yihaaa