Sunday, June 29, 2008

Ujian

Dalam usia menginjak 36 tahun ini, tanpa disangka sekali lagi saya teruji. Mengenai apa? Biarlah rahsia. Cuma yang dapat saya kongsikan di sini, ujian tersebut telah mengajar saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain termasuk orang yang paling rapat dengan saya.

Saya benar-benar tidak menyangka yang saya telah ditipu hidup-hidup. Segala kepercayaan yang saya berikan telah dipijak-pijak seperti sampah. Saya binggung mengapa begitu mudah seorang manusia boleh melupakan kekhilafannya yang lalu. Apakah yang dia fikir tentang hidup ini? Adakah hidup ini hanya sandiwara dan padang permainan semata-mata? Madu yang kuberi, tuba dibalas? Hingga saya berasakan hendak memandang wajahnya pun saya tidak sudi lagi. Apatah lagi hendak berkata-kata. Betapa sukar untuk saya menjadi pemaaf kali ini.

Alhamdulillah, petunjuk ALLAH jelas membuktikan bahawa naluri insan yang dikhianati itu akhirnya tanpa semena-mena dapat membongkar segala penipuan yang berlaku. Kini saya semakin mengenali dirinya. Dia, kini dan akan datang tidak mungkin akan menjadi orang yang berbeza. Saya terus tersedar dari mimpi yang panjang dan saya harus keluar dari belenggu. Saya perlu mencipta kecemerlangan dan meninggalkan orang-orang yang mungkin hanya akan menarik saya ke bawah.

Kepada dia atau insan lain yang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja mengguris perasaan insan yang lain, saya nasihatkan agar segeralah sedar supaya anda tidak dipulaukan oleh orang yang dekat dengan anda.

Pada saya, sebagai insan yang serba-serba tidak sempurna, saya maafkan dia. Tetapi kepercayaan yang hilang tidak mungkin dapat saya kembalikan buat masa ini, bulan ini, tahun ini atau hingga nyawa meninggalkan badan.

Sebuah persahabatan seharusnya didokong oleh kejujuran, kesetiaan dan keikhlasan. Untuk apa ia diteruskan lagi andainya "selimut kedinginan" semakin menebal? Buat insan yang dimaksudkan, terima kasih saya ucapkan atas segala "kesakitan" yang saya rasai. Dengan pengalaman ini, menjadikan saya lebih kuat dan penuh "ilmu" untuk menjadi penulis yang prolifik.



Sunday, June 1, 2008

NOVEL, NOVEL, NOVEL

Akhirnya giliran saya tiba. Terima kasih Kak Wan (jujur bukan bodek ya). Selepas sekian lama menanti, novel keempat saya "Kemuncak Kasih" mendapat giliran untuk diedit oleh Kak Wan (Editor prolifik Alaf21). Tak gitu Kak Wan? Jangan marah ya.....

Kisahnya mengenai apa? Hmm biarlah rahsia....tapi yang pasti kali ini saya memaparkan keindahan New Zealand sebagai salah satu latar tempat. Jujur saya katakan yang saya menggunakan rujukan daripada majalah, internet dan kawan-kawan yang pernah ke sana. Meskipun begitu, saya berharap agar saya dapat ke sana dalam keadaan yang masih sihat waalafiat.

Kisahnya yang penuh dengan cabaran dan suspen, pasti akan membuatkan anda semua teruja untuk memiliki novel yang paling lama yang pernah saya usahakan ini. Saya berharap hasilnya tidak akan mengecewakan anda yang mahukan halwajiwa yang berbeza tetapi menghiburkan.

Jengg...jenggg...tunggu! Alaf21fc dan saya pun sedang merancang sesuatu sempena pelancaran novel ini kelak.....Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan....

Kaki
Keadaan kaki saya yang terkehel sejak 2 bulan lalu kini banyak membataskan pergerakan saya. Hingga menakutkan saya andainya ia tidak pulih seperti sedia kala. Bagaimana mungkin saya dapat menikmati keindahan sewaktu melancong kelak kalau pergerakan saya terbatas. Dalam hati saya berdoa agar kaki saya kembali pulih walau pun memakan masa yang lama. Sekali gus saya berharap dapat menurunkan berat badan meskipun pelbagai usaha sebelum ini masih "gagal".

Anugerah
Selain itu saya ingin berkongsi beberapa kisah manis yang telah saya lalui sepanjang tahun ini. Sebagai penulis, ya saya bangga kerana sudah hampir mencapai misi 5 novel. Kemudian sebagai editor saya turut berbangga kerana majalah kendalian saya, Pa&Ma terus mencatat rekod cemerlang dengan jualan yang semakin meningkat. Tahun ini kami mendapat Jackpot iaitu insentif KPI daripada syarikat. Jumlahnya? Memang lumayan.

Lebih manis, pada 24 Mei lalu kami telah dinobatkan sebagai Penerbitan Terbaik 2007. Segala penat lelah kami ternyata dihargai oleh syarikat (Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd.). Ibaratnya kami menerima durian runtuh pada tahun ini hasil daripada usaha keras sebelumnya. Rezeki ALLAH jangan ditolak.

Pengajaran
Hakikatnya yang jelas, sesuatu yang kita usahakan tidak akan nampak hasilnya sekarang. Sebaliknya usaha yang istiqamah pasti akan membuahkan hasil pada masa akan datang meskipun tanpa dijanga atau dipinta-pinta.