Saturday, January 2, 2016

Awas risiko bersedekah!

Anda terpaksa bahagia
God bless you
Penulis LIZA ALI
lizazahira@gmail.com
facebook.com/lizaalidotcom
Tawakallah.blogspot.com

Saya tertarik dengan catatan daripada sebuah blog iaitu dapur-siti.blogspot.com yang ditulis oleh Siti. Dalam tulisan itu mengungkap sebuah kajian oleh seorang profesor di Amerika Syarikat. Ikuti penemuan ini.
Profesor psikologi dari Universiti Oregon, Ulrich Mayr berpendapat amalan bersedekah mengaktifkan sel-sel otak dan ini akan menjadikan orang yang berbuat demikian berasa seronok. Pandangan itu diterbitkan oleh jurnal Science (2007) yang diketahui oleh ahli akademik sebagai jurnal berpengaruh.
Ulrich Mayr juga mendapati bahawa rasa seronok bersedekah itu bolehlah dikatakan sama atau lebih daripada menikmati makanan atau hubungan kelamin. Ini kerana bahagian otak yang teraktif dari amalan tersebut berada di bahagian yang sama untuk menikmati makanan dan juga hubungan kelamin.
Selain itu amalan suka bersedekah juga dikaitkan dengan sifat suka menolong orang lain yang juga menjadikan seseorang itu rasa seronok selepas berbuat demikian. Itu sebabnya orang yang menolong selalu keberatan menerima habuan kewangan kerana berasa seronok membantu. Ini dikatakan sebagai sifat altruisme atau bahasa mudahnya ringan tulang.
Kajian Ulrich Mayr dan dibantu dua orang pakar ekonomi itu dilakukan ke atas 19 sukarelawan wanita dan dibekalkan sebanyak AS$100 (RM347). Kemudian pengkaji-pengkaji ini meneliti aktiviti otak dengan menggunakan pengimbas Functional Magnetic Resonance Imaging (FMRI).
Melalui pengimbas canggih itu segala aktiviti otak dapat dikesan dengan mudah dan respons pengesanan adalah amat teliti. Kemudian kesemua wanita ini ditunjukkan bahawa wang mereka telah dimasukkan ke dalam akaun tabung makanan (atau di sini sama seperti akaun zakat).
Apabila wang tersebut disahkan telah diterima, maklumat tersebut segera mengaktifkan bahagian otak untuk rasa seronok. Bahagian-bahagian itu ialah caudate nucleus dan nucleus accumbens yang diketahui sebagai bahagian untuk rasa seronok. Kajian tersebut juga menunjukkan jika sukarelawan itu terpilih untuk mengedarkan wang tersebut, contohnya, menjadi wakil untuk memberikan wang sedekah kepada rumah anak yatim, ia akan meningkatkan lagi rasa seronok.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa bahagian otak yang teraktif itu jugalah bertanggung jawab untuk rasa seronok seperti memakan manisan, hubungan kelamin, perlindungan dan  rakan taulan. Ini semua adalah dikaitkan sebagai keperluan asas seorang manusia.
Amalan terbaik
Ingatlah bahawa sebelum bersedekah kita kena bersyukur dahulu. Tanpa rasa syukur sukar untuk kita bersedekah. Syukur kita dapat bernafas dan dapat minum air. Orang sebelah nak minum air pun tak ada. Sedekahlah secawan atau sebotol air. Lihat senyumannya. Syukur kita ada duit RM100. Orang lain 10 sen pun tak ada. Jadi, sedekahlah RM5 pada dia. Dengarlah ucapan terima kasihnya sambil mendoakan anda. Bersyukur kerana ada kereta walau pun buruk. Orang lain kereta pun tak ada. Tumpangkanlah makcik yang jalan kaki balik dari pasar. Dengarlah ucapannya, God blessed you. Lama kelamaan kita akan lebih mudah bersedekah dan akan lebih rasa bahagia. Insya-Allah.