Sunday, April 29, 2007

Bila anda menulis?

Masa & Ruang

Bila anda menulis? Selepas anak-anak tidur atau sebelum mereka bangun dari tidur? Adakah anda menulis di tengah malam atau pada waktu subuh? Adakah anda menulis sebelum anak-anak ke sekolah, selepas anak-anak pulang dari sekolah atau sewaktu mereka berada di sekolah? Di mana anda menulis? Di dalam pejabat, di bilik hotel atau di bawah pohon yang rendang?

Jika anda bertuah, anda boleh memiliki tempat yang khas dan tidak diganggu. Jika tidak, anda hanya akan menulis apabila ada berpeluang melakukannya. J.K Rowling menulis di Kedai Kopi Edinburgh sewaktu bayinya sedang lena. Penulis British, Magnus Mills yang menulis novel The Persistence of Beasts pernah bekerja sebagai pemandu bas. Mills menulis rangka ideanya di belakang borang kerja lebih masanya sewaktu basnya berhenti di lampu isyarat (merah)!

Dalam buku bertajuk In Becoming A Writer, Dorothea Brande mencadangkan satu latihan: Ambil satu masa dan duduk serta menulis setiap hari. Jika berhari-hari anda masih gagal melakukannya, bererti anda sanggup mengutamakan hal lain berbanding menulis. "If you fail repeatedly at this exercise, give up writing!"

Anda perlu menanam disiplin dalam meluangkan masa berharga anda setiap hari untuk bekerja keras. Jadi, memang logik kalau anda anggap tugasan menulis sebagai satu daripada kerja harian atau urusan bisnes! (Diterjemah dari buku The Writer's Mentor)

Pulang dari PWTC hari ini, semangat untuk menulis sesuatu terus membara. Saya perlu meluahkan perkara yang terbuku di hati. Saya perlukan motivasi. Lalu saya ambil kembali buku yang dah bertahun-tahun di rak buku iaitu The Writer's Mentor. Buku itu saya tatap dan temui perkara yang hendak saya ketengahkan iaitu semangat MENULIS SETIAP HARI!

Mengapa hal ini timbul? Pertama, saya bertemu dengan peminat novel dari Singapura, Puan Salmah Ismail. Beliau telah menitipkan kata-kata yang amat bermakna buat saya. Beliau benar-benar menghayati novel saya, Bahtera Kasih. Dalam hati saya berkata, "Oh, Tuhan saya berasa sangat bahagia dan terharu!" Ternyata beliau telah meniupkan semangat untuk saya terus berkarya. Terima kasih Salmah.

Kedua, saya duduk di sebelah penulis baru, Meen Zulaikha. Seorang ibu yang sudah punya anak remaja dan suri rumah tangga. Beliau bertanya, bila masa saya menulis? Saya menjawab, "Malam dan hujung minggu." Benar, tetapi saya akui bukan SETIAP HARI! Tetapi saya sedar itu BUKAN standard sebenar seorang penulis. Saya tidak mahu berhenti daripada menjadi penulis. Sebelum ini saya menulis mengikut kesempatan ruang & waktu. Jadi, saya perlu menulis SETIAP HARI! Ya ALLAH, Perkenankanlah!


Friday, April 27, 2007

Demam Pesta Buku Bermula


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (KLIBF) yang ke-26 sudah pun bermula hari ini, 27 April hingga 6 Mei 2007.

Waktu beroperasi Isnin - Khamis 10.00 am - 7.00 pm. Jumaat - Ahad & Cuti Umum 10.00 am - 10.00 pm. Masuk PERCUMA
Hati- hati kerana terdapat beberapa DEWAN yang terlibat iaitu Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr. Ismail, Legar Putera, Tun Razak Hall 3 dan Tun Razak Hall 4.
Untuk makluman semua Karangkraf dan Alaf21 berada di Dewan Tun Dr. Ismail iaitu keseluruhan dewan tersebut yang terdiri daripada 53 buah booth. Untuk masuk ke situ anda perlu gunakan pintu masuk utama di Ground Floor PWTC atau pun pintu masuk di sebelah Hotel Pan Pacific. Kemudian carilah Dewan Tun Dr. Ismail.
(Tip nak ingat senang saja, dulu pejabat Karangkraf dan Alaf terletak di Taman Tun Dr. Ismail sebelum berpindah ke Shah Alam. Jadi ingat saja Taman Tun Dr. Ismail pasti anda akan ingat nama Dewan tu.)
Team Karangkraf dan Alaf21 sudah bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk anda semua. Sebagai salah seorang ahli keluarga Karangkraf dan Alaf21, saya pun akan turut berada di sana untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan dan para peminat buku dan majalah. Ada banyak tawaran harga istimewa dan hadiah disediakan terutama untuk Kempen Langganan dan Cabutan Bertuah. Majalah Pa&Ma pun ada di sana!
Fakta tentang KLIBF yang perlu anda tahu
1. Sebanyak 600 booth disediakan dengan 183 penerbit/pempamer yang terlibat berbanding tahun lalu hanya 530 booth dengan 150 penerbit/pempamer.
2. Negara terlibat -United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Mesir, German, Hong Kong, Brunei, Thailand, India, Filipina, Indonesia, Vietnam, Singapura dan tentulah peserta Tuan Rumah.
3. Terdapat 63 jenis aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang 10 hari Pesta.
4. Genre yang terlibat - Kanak-kanak, Pendidikan, Keagamaan, Pengajian Tinggi, Teknologi, Sains, NOVEL, MAJALAH dan umum.
Untuk maklumat lanjut klik

Tuesday, April 24, 2007

Mari belajar

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui pelbagai cara iaitu:
1. Malaikat Jibril "memasukkan" wahyu itu ke dalam hati Rasullullah tanpa memperlihatkan wujudnya. Ia secara tiba-tiba berasakan wahyu itu telah berada di dalam hatinya. Nabi SAW mengatakan hal ini: "Rohulkudus mewahyukan ke dalam kalbuku".

2. Malaikat Jibril menampakkan dirinya kepada Nabi SAW sebagai seorang lelaki dan mengucapkan kata-kata di hadapannya, sehingga dia cepat mengetahui dan menghafal ayat-ayat yang disampaikannya itu.

3. Wahyu itu turun kepada Nabi SAW seperti bunyi gemerincing loceng. Cara ini dirasakan oleh Rasulullah SAW sebagai yang paling berat sehingga dia mencucurkan keringat, meskipun wahyu itu turun di musim yang sangat dingin. Apabila Nabi SAW sedang mengenderai unta, maka ketika itu juga untanya terpaksa berhenti dan duduk kerana terasa amat berat.

4. Malaikat Jibril menyampaikan wahyu dengan menampakkan wujudnya yang asli (surah An-najm ayat 13 dan 14).

Setiap kali menerima wahyu. Nabi SAW lalu menghafalkannya. Hafalan tersebut diawasi oleh malaikat Jibril. Selain itu, Rasulullah SAW turut membacakannya di hadapan para sahabat. Di samping menyuruh para sahabat menghafalkan ayat-ayat yang diajar, Nabi SAW turut memerintahkan mereka yang pandai menulis untuk menuliskannya di atas pelepah-pelepah kurma, kepingan batu dan tulang. Sahabat yang pandai menulis sangat berhati-hati dalam menuliskan ayat-ayat ini. Hal ini didorong oleh keyakinan mereka bahawa Al-Quran adalah firman ALLAH SWT yang harus dijadikan pedoman hidup, sehingga perlu dijaga dengan baik. Ketika di Madinah, Rasulullah SAW memiliki beberapa juru tulis, di antara yang terkenal ialah Zaid bin Sabit. (Petikan daripada buku Petanda Keagungan tulisan Nazri Zakaria)

Begitulah sebahagian daripada proses wahyu/ilmu yang diturunkan ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW. Penuh dengan ketakwaan, berlapang dada dan berhati-hati. Sesungguhnya proses mencari ilmu memang mengasyikkan jiwa. Makin banyak yang kita tahu maka makin banyak pula yang belum terungkap. Jangan mudah menyerahkan kalah. Semua ilmu adalah milik ALLAH walau pun disampaikan oleh orang bukan Islam. Jangan lari daripada hakikat bahawa yang mengetahui itu lebih baik daripada yang tidak tahu. Tidak hina orang yang bertanya dan tidak mulia orang yang menyimpan ilmu untuk dirinya sendiri. Wallahualam.

Monday, April 23, 2007

Penyakit Rohani

Penyakit rohani yang dianggap berbahaya ialah penyakit "keras hati". Di antara tanda-tanda penyakit keras hati itu ialah apabila tidak berasa gerun dan bersalah apabila melakukan maksiat dan tidak berasa seronok bila melakukan taat, tidak berasa gerun dengan neraka dan tidak teringin terhadap syurga, tidak berasa benci berkawan dengan syaitan atau iblis dan sebaliknya tidak berselera mendekati malaikat. - {Petikan dari buku Insan, Ingatlah! - tulisan Nik Abdul Aziz Nik Mat}

Benar dalam banyak kerumitan di dunia ini, hatilah yang paling sukar untuk dididik. Kita rasa kita baik tetapi sebenarnya belum cukup baik. Kita rasa kita tak jahat tapi sebenarnya sangat jahat. Mulut, lidah, tangan, kaki, fikiran, telinga, hidung dan kemaluan semuanya perlukan didikan. Semuanya boleh memacu ke arah kebaikan tetapi jika hati enggan, natijahnya yang lain boleh mengikut syaitan. Wallahualam.

Sunday, April 22, 2007

Perancangan Kewangan

Benda ini memang sudah lama berlegar dalam kepala saya. Banyak buku-buku perancangan kewangan yang saya baca. Daripada Azizi, Rosli hinggalah kepada Aziz Ibrahim dan saya rasa amat rugi kerana lambat mengetahui tentang Aziz dan bukunya yang bertajuk Lebuhraya Baru Kebebasan Kewangan yang sudah diterbitkan sejak 2005. Untuk mengetahui lebih lanjut kehebatan buku dan manusia ini, dapatkanlah sendiri buku tersebut dan ikuti laman web asasteguh.com. Semoga anda akan mendapat manfaat yang sewajarnya. Selamat membaca.

Saturday, April 21, 2007

21 April 2007

Salam perkenalan
Hari ini blog saya telah siap untuk diperagakan di persada layar maya ini. Terima kasih buat suami yang sanggup bersengkang mata merealisasikan kewujudan blog yang tidak sepertinya ini. Saya akan cuba menjadikan blog ini sebagai salah satu blog yang banyak memberikan informasi kepada semua pengguna internet di luar sana.