Saturday, November 20, 2010

Sinopsis : ANDAI KAU JODOHKU


RIANA Syuhada Adam, gadis wartawan yang begitu komited dengan kerja dan tidak suka berbicara soal jodoh. Hatinya sekeras kerikil hingga dia tidak mudah jatuh cinta. Namun jauh di sudut hati, dia masih menyimpan janji setia dengan teman sepermainan sewaktu kecilnya, Minul. Kepada lelaki itu sahajalah disandarkan harapan untuk menggapai bahagia.

Hidupnya yang tenang, tiba-tiba menjadi kacau bila menjadi mangsa tipu muslihat dan kuasa mistik manusia bejat yang akhirnya menemukan dia dengan Danish Haiqal. Terlepas daripada saat getir dan selamat di sisi pemuda itu, membuatkan hati Riana tidak keruan. Danish berjaya meruntun hatinya. Malah, Danish turut menyimpan perasaan terhadapnya.

Pertalian antara Danish dan Syed Aminul membuatkan keadaan semakin kusut! Danish dan Syed Aminul sebenarnya sepupu! Malah, Riana sendiri mendapat tahu bahawa Syed Aminul sudah pun berkahwin.

Riana kecewa. Lelaki yang diharapkan untuk menggapai kebahagiaan tidak mungkin menjadi miliknya. Haruskah dia mendambakan cintanya pula itu kepada Danish, sedangkan Danish sudah berjanji akan menyatukannya dengan Syed Aminul? Sayangnya... Riana tidak tega bermadu!

Harga : RM 19.90
Halaman :528
ISBN : 978-983-124-589-7

Friday, October 29, 2010

BILA TIBA SAAT ITU...

Aku sering terfikir bilakah saat itu akan tiba? Saat yang menjadikan aku sebagai aku. Saat yang menjadikan aku hanya berfikir tentang kebenaran. Aku tidak mahu lagi bersekongkol dalam hidup yang penuh kepura-puraan. Aku mahu menjadi aku! Ya, kini saatnya sudah hampir. Aku tahu aku bukan yang terbaik jadi aku tidak mahu menjadi yang berbaik. Aku hanya mahu menjadi aku. Yang akan memikirkan tentang perasaanku dulu. Biarpun selama ini aku terdidik untuk memikirkan perasaan orang lain dan apa tanggapan orang lain terhadap aku. Tapi kini tidak lagi. Aku sudah menjadi aku yang bukan korban perasaan!

My true colour - 29 Okt 2010.

Saturday, February 13, 2010

Hidup biar berbaloi

Ramai orang di sekeliling kita punya keinginan dan idea untuk menghasilkan sesuatu yang baru atau sekurang-kurangnya menulis di atas kertas dan menulis lagi helaian seterusnya hingga berjumlah 500 muka surat lalu dihantar ke penerbit. Tetapi keinginan saja tidak cukup. Yang penting ialah tindakan. Ada orang tidak begitu banyak idea tapi ia tetap meneruskan langkah. 
Orang itu hanya bermodalkan keberanian dan tekad untuk berjaya atau sekurang-kurangnya berubah. Langkah pertama untuk langkah seterusnya memang perlu diambil. Tidak akan jalan singkat. Tapi bukan dengan menindas orang lain!

Bertindak!
Ayuh teman-teman, peluang kini sangat terbuka. Manuskrip anda atau idea ada mungkin mempunyai nilai yang tidak terhingga. Anda cemburu melihat orang berjaya tetapi anda tidak mahu mengikut tindakannya. Itulah sikap yang tidak sepatutnya ada. 
Bagaimanapun jangan bertindak membabi buta yang akhirnya anda akan kecewa. Buatkan kajian, bertanyalah orang-orang yang tahu dan internet ya internet jangan diabaikan. Carilah sumber, tengok macam mana orang buat, belilah buku yang berkaitan sebagai pelaburan, pergilah kursus untuk menambah ilmu. Semua itu perlu untuk menjadi rencah kejayaan anda. 

Usah berputus asa!
Saya telah menulis 5 buah novel, sudah menjadi wartawan sejak berusia 22 tahun. Tapi saya masih lagi belajar tentang penulisan berkualiti. Saya telah menjadi editor sejak tahun 1998 hingga kini. Saya masih lagi berusaha mencemerlangkan majalah saya (Pa&Ma) dan saya masih lagi belajar untuk menjadi novelis bestseller! Saya belajar menulis skrip...saya belajar...untuk menjadi orang yang berhasil. Tidak ada istilah cukup makan dalam hidup saya. 
Saya tidak bermimpi menjadi terkenal. Cukuplah karya-karya saya saja yang dibaca. Tapi untuk mencapai segala-galanya tidak mudah. Saya sudah lalui pelbagai cabaran, suka dan duka. Saya pun manusia normal seperti anda semua, ada keluarga dan ada sifat malas!
Tapi semua itu bukan alasan untuk saya duduk berdiam diri. Kalau saya diam bererti saya berfikir, kalau saya bergerak bererti saya berkerja sambil berfikir dan kalau saya tidur bererti saya bermimpi sambil berfikir. 
Begitulah hakikatnya dalam kehidupan. Tiada istilah relaks. Kita kena berusaha dan berusaha. Usah bergantung pada satu sumber. Pelbagaikan pengetahuan dan pendapatan kita. Jadilah manusia yang berhasil dan hidup biar berbaloi.

Nota: Terima kasih kepada para peminat novel yang sudi menyokong Seindah Sakura - saya tulis ia dengan sepenuh jiwa raga saya sebagai pedoman untuk para remaja dan wanita umumnya. 

Liza,
Shah Alam
13 Feb 2010.

Wednesday, January 20, 2010

Kenangan sedih bersama ibu

Lama dia termenung. Dia mulai terfikir bahawa kepulangannya hanya sia-sia. Malah dia telah membuatkan Shakira lebih terluka dan membencinya. Sepatutnya , dia tidak pulang dan Shakira pula sebaiknya tinggal dengan Datuk Walid kerana masa depannya akan lebih terjamin di sana.
Dia menyesal, tetapi segala-galanya sudah terlewat. Dia sudah terlanjur dan dia perlu menanggung akibatnya. Dia menyarung pakaian ke tubuh kurusnya. Kemudian, menyisir rambutnya yang mulai beruban. Perutnya semakin berkeroncong lalu segera dia teringatkan ubi rebus yang belum dijamahnya. Dia ke dapur untuk membasuh tangan sebelum duduk bersimpuh di depan tudung saji.
Tatkala dia sedang mengangkat tudung saji, Shakira melangkah masuk lalu duduk bersimpuh di hadapannya. "Mak baru nak makan?"
Rosmah mengangguk. "Marilah temankan mak."
"Dah kenyang, mak makanlah."
Sejurus tudung saji dibuka, keempat-empat mata terbeliak. Rosmah dan Shakira terkejut melihat semut penuh berkerumun di atas ubi dan air kopi.
"Ya ALLAH, lupa yang rumah ni banyak semut. Patutnya Ira simpan atas dapur." Shakira rasa bersalah.
"Tak apalah, dah bukan rezeki mak. Ada lagi ke ubi lain dalam periuk?"

- Seindah Sakura m/s 62


Cinta terhalang antara Shakira (pelajar) dan Airil (guru)

Shakira: Kalau Ira kata Ira nak bayar balik, Ira tetap akan bayar. Kalau abang tak nak duit tu, abang boleh buang saja ke longkang!

Airil: Tak guna Ira lepaskan kemarahan pada abang dengan cara bodoh macam tu. Abang cuma mahu Ira berjaya dan bahagia. Itu saja!

Shakira: Tapi Ira tak bahagia!

Airil: Kenapa Ira menangis ni?

Shakira: Ira sakit hati bila abang tuduh Ira yang bukan-bukan. Hina sangatkah Ira di mata abang? Ira tak bersalah. Semua tu Anida yang rancang! Anida fitnah Ira!

Airil: Sudahlah tu. Jangan difikirkan lagi perkara yang dah lepas. Yang penting, Ira kena teruskan perjuangan. Walau pun Ira sebatang kara di sini, tapi Ira mesti hadapinya dengan tabah. Ira kena jadi contoh pada anak-anak yatim yang lain.

Shakira: Mana boleh Ira diam? Ini tentang maruah Ira!

- Seindah Sakura m/s 128

Masihkah ada cinta buat Shakira?

Shakira: Ira tak mahu lagi memikirkan soal hati kerana perasaan Ira dah lama mati!

Nadrah: Cinta Airil akan menjadi lilin yang menerangi hidupmu.

Shakira: Alangkah baiknya kalau ia berlaku lapan tahun yang lalu tapi semuanya sudah punah.

Nadrah: Orang yang membunuh semangatnya sendiri adalah orang yang paling kejam...

Shakira: Kak, Ira tak betah untuk bangkit kembali mengharungi hidup dalam percintaan. Ira rela sendirian sama seperti akak!

Nadrah: Jangan jadi bodoh! Kamu masih berpeluang menikmatinya. Bukalah hatimu dan terimalah dia! Antara kamu tak ada halangan!

- Seindah Sakura m/s 479

SEINDAH SAKURA













Sinopsis: SHAKIRA terumbang-ambing akibat kemiskinan hidup dan hilang tempat bergantung. Airil yang hadir dengan perspektif negatif terhadap gadis itu, akhirnya berubah mencintainya dalam diam. 

Sukar bagi Shakira untuk bahagia, lantaran ada hati yang dengki dan merancang balas dendam. Hati hitam milik Anida berjaya membuatkan cinta Shakira dan Airil ter halang hingga lelaki itu membawa diri meninggalkan Shakira terkapai-kapai keseorangan. Sejak itu, satu per satu badai datang melanda hingga hidup gadis itu tidak menentu. 

Di universiti, Shakira menemui cinta baru, tapi malangnya dia sudah jadi milik orang lain. Demi kasih pada ibu, dia rela berkorban biarpun hatinya hancur bagai kaca berderai ke bumi. 

Shakira cuba menjadi SEINDAH SAKURA meskipun harapan untuk mendapatkan kembali cinta sejati semakin mustahil. Namun, dia perlu percaya pada jodoh yang telah tersurat untuknya. Mungkin kita sengaja dipertemukan dengan cinta yang salah agar kita bersyukur setelah mendapatkan cinta yang sebenar..