Tuesday, April 24, 2007

Mari belajar

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui pelbagai cara iaitu:
1. Malaikat Jibril "memasukkan" wahyu itu ke dalam hati Rasullullah tanpa memperlihatkan wujudnya. Ia secara tiba-tiba berasakan wahyu itu telah berada di dalam hatinya. Nabi SAW mengatakan hal ini: "Rohulkudus mewahyukan ke dalam kalbuku".

2. Malaikat Jibril menampakkan dirinya kepada Nabi SAW sebagai seorang lelaki dan mengucapkan kata-kata di hadapannya, sehingga dia cepat mengetahui dan menghafal ayat-ayat yang disampaikannya itu.

3. Wahyu itu turun kepada Nabi SAW seperti bunyi gemerincing loceng. Cara ini dirasakan oleh Rasulullah SAW sebagai yang paling berat sehingga dia mencucurkan keringat, meskipun wahyu itu turun di musim yang sangat dingin. Apabila Nabi SAW sedang mengenderai unta, maka ketika itu juga untanya terpaksa berhenti dan duduk kerana terasa amat berat.

4. Malaikat Jibril menyampaikan wahyu dengan menampakkan wujudnya yang asli (surah An-najm ayat 13 dan 14).

Setiap kali menerima wahyu. Nabi SAW lalu menghafalkannya. Hafalan tersebut diawasi oleh malaikat Jibril. Selain itu, Rasulullah SAW turut membacakannya di hadapan para sahabat. Di samping menyuruh para sahabat menghafalkan ayat-ayat yang diajar, Nabi SAW turut memerintahkan mereka yang pandai menulis untuk menuliskannya di atas pelepah-pelepah kurma, kepingan batu dan tulang. Sahabat yang pandai menulis sangat berhati-hati dalam menuliskan ayat-ayat ini. Hal ini didorong oleh keyakinan mereka bahawa Al-Quran adalah firman ALLAH SWT yang harus dijadikan pedoman hidup, sehingga perlu dijaga dengan baik. Ketika di Madinah, Rasulullah SAW memiliki beberapa juru tulis, di antara yang terkenal ialah Zaid bin Sabit. (Petikan daripada buku Petanda Keagungan tulisan Nazri Zakaria)

Begitulah sebahagian daripada proses wahyu/ilmu yang diturunkan ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW. Penuh dengan ketakwaan, berlapang dada dan berhati-hati. Sesungguhnya proses mencari ilmu memang mengasyikkan jiwa. Makin banyak yang kita tahu maka makin banyak pula yang belum terungkap. Jangan mudah menyerahkan kalah. Semua ilmu adalah milik ALLAH walau pun disampaikan oleh orang bukan Islam. Jangan lari daripada hakikat bahawa yang mengetahui itu lebih baik daripada yang tidak tahu. Tidak hina orang yang bertanya dan tidak mulia orang yang menyimpan ilmu untuk dirinya sendiri. Wallahualam.

No comments: