Monday, December 21, 2015

Emas dan Tipu Daya


Penulis LIZA ALI
facebook.com/lizaalidotcom
Tawakallah.blogspot.com


DUA TAHUN LALU CERITA EMAS SANGAT INDAH. SAAT ITU MUNCUL TOMAN-TOMAN EMAS DARI TASIK DAYANG BUNTING ATAU TASIK BANDING

Tahukah anda, bahawa memegang emas itu adalah lambang kekayaan sebenar dan tulen? Memang kedengaran macam kg.com atau kampungan. Tapi itulah ilmu yang diajar oleh orang tua-tua dulu yang sangat berharga yang kita perlekehkan. Bila duit kita sudah jadi duit rupiah, rupee atau duit pisang nanti baru anda akan sedar betapa PENTING simpan emas! Masa itu kalau anda baru hendak terhegeh-hegeh beli emas, anda akan sedar bahawa wang kertas anda sudah tidak bernilai.
               
Emas vs inflasi
Emas tidak terjejas akibat inflasi atau dengan kata lain nilainya tidak susut. Ya, ia mungkin turun sedikit akibat kemelesetan ekonomi tapi ia tidak pernah turun pada harga 10 tahun dulu. Ertinya harganya tetap tinggi berbanding dulu. Jadi, bagaimana mahu memastikan yang simpanan atau pelaburan kita selari dengan perkembangan semasa ekonomi tanpa menyusutkan nilainya? 

Jawapannya sangat mudah iaitu simpan emas bukan duit! Sebagai contoh, pada zaman   S.A.W, harga seekor kambing adalah satu dinar. Pada masa sekarang harga kambing tetap kekal satu Dinar atau lebih kurang RM690-RM740. Jadi, cepat-cepat mulakan simpanan anda dengan satu dinar setiap bulan jika boleh.
                
Emas paling selamat
Kata orang kalau ada duit dalam bank macam-macam perkara akan terlintas dalam kepala kita. Hendak tas tangan LV terkinilah, hendak ubah suai rumahlah dan macam-macam lagi kehendak yang tiba-tiba menjadi macam penting. Tapi kalau kita sudah tukarkan ia kepada emas, jarang kita mahu memperlekehkan emas kita itu. Otomatik kita akan lebih berdisiplin dan tidak akan “mencairkan” emas dengan sewenang-wenangnya. Kita hanya akan ke pajak gadai kalau anak kita nak sambung belajar atau kita ada keperluan yang benar-benar mendesak.
              
Di mana ada gula di situ ada semut
Bagaimana pun, sisi buruk tentang emas akhirnya meletup. Bagaikan dilanda musibah dan disumpah tujuh keturunan, maka ramai di kalangan orang kita terpedaya dengan dakyah-dakyah toman darat yang muncul di sebalik kehebatan emas. Pelbagai skim dan pelaburan muncul dengan niat mahu memperdayakan orang ramai. 

Ada yang menggunakan status sebagai koperasi untuk menggaburi mata pelabur. Bahkan sanggup menjual agama untuk menggaburi mata orang ramai. Akibatnya ramailah yang terduduk malah tertiarap. Puluhan, ratusan dan jutaan ringgit hilang sekelip mata. Sedangkan para pengelola hidup bermaharajalela. Bahkan ada yang masih bergiat aktif dengan menyelinap menggunakan medium fb untuk mencari mangsa lagi.

Emas hanya fizikal
Apa pun cara orang berniaga emas, percayalah hanya pembelian secara fizikal sahaja yang tulen dan berkat. Tiada siapa yang mahu dirinya ditipu tapi cubalah untuk beringat dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum anda menyerahkan wang ke tangan orang lain. Sekali wang anda sudah berpindah tangan, tidak mungkin ia kembali lagi. Nasihat saya simpanlah emas cara orang tua-tua kita.  Usah terpedaya dengan pulangan berlipat kali ganda. Wallahualam.
Beli emas dapat emas. Elakkan dari pembelian tertangguh yang menawarkan hibah.
                
Contoh kepingan emas atau goldbar.


No comments: