Thursday, February 19, 2009

Membina jati diri melalui program penyucian jiwa

Teks&Foto SINAR HARIAN/LIZA ALI
Foto SINAR HARIAN/ESQ 165
(Gambar & cerita penuh dapatkan Pa&Ma Mac 2009)

Sedu-sedan terdengar daripada kira-kira 300 peserta Training ESQ 165 Dewasa Angkatan 26 Kuala Lumpur anjuran ESQ Leadership Center Sdn. Bhd (ESQLC). Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf), syarikat penerbitan majalah dan akhbar terkemuka telah menghantar jumlah peserta paling ramai iaitu 56 orang pada kursus kali ini. Selain itu, para peserta turut terdiri daripada pegawai kerajaan, swasta dan individu. Tahniah kepada Pengarah Urusan Karangkraf, Dato’ Hushamuddin Yaacob kerana begitu komited terhadap usaha membangunkan jati diri para kakitangannya.
Ia adalah reaksi spontan yang lahir dari jiwa peserta yang tersentuh tatkala trainer mendedahkan fakta saintifik mengenai kejadian alam semesta yang membuktikan Firman Allah menerusi wahyu-Nya kepada nabi Muhammad SAW, lebih 1,400 tahun lalu. Dalam kesamaran dewan itulah, peserta teresak-esak melafazkan doa meminta ampun daripada ALLAH dan bertaubat atas dosa masa silam selepas kagum dengan kekuasaan ALLAH.
Bagaimanapun, latihan ESQ 165 bukan kelas belajar agama tetapi melatih
peserta membangun sumber daya manusia melalui nilai universal merujuk
kepada Al-Quran dan sunnah. Pencarian iman ditunjukkan melalui penerokaan alam angkasa yang menggambarkan betapa besarnya kekuasaan ALLAH SWT.
Peserta berulang kali diingatkan walaupun ESQ menggunakan Al-Quran
sebagai rujukan, ia tidak seharusnya membelenggu bukan Islam daripada
mengetahui nilai mulia dan cerita yang terkandung di dalamnya. Peserta juga dipandu
membangunkan prinsip hidup dan keperibadian berdasarkan The ESQ Way
165. Angka 165 adalah simbol bagi satu hati yang ihsan, enam prinsip moral
berdasarkan Rukun Iman dan lima langkah kejayaan berasaskan Rukun Islam.

IQ-EQ-SQ
Pengurus Besar, ESQLC, Marhaini Yusoff berkata, konsep asas yang cuba
dikembangkan oleh Dr Ary Ginanjar Agustian bersama jurulatih ESQ Leadership Centre ialah agar semua orang bekerja dengan sepenuh hati, mengutamakan prinsip kebenaran,
menjunjung tinggi kejujuran, bertanggungjawab, memiliki visi jauh ke hadapan, berdisiplin, selalu bekerjasama, adil dan prihatin.
“ESQ mengembangkan konsep keseimbangan antara IQ-EQ-SQ atau kecerdasan
intelektual, emosional dan spiritual dengan cara penyampaiannya yang menarik dan menggunakan teknologi audio visual, menghadirkan sistem bunyi, gambar, animasi dan cahaya sungguh menyentuh perasaan,” katanya.
Selain itu, latihan yang dikendalikan ESQLC ini diyakini mampu membantu
organisasi mewarnai suasana kerja yang lebih kondusif dan selesa melalui perhubungan sesama pekerja yang mesra, akrab dan sihat sehingga terbentuk suatu budaya yang unik bagi organisasi.
Trainer, Legisan Sugimin, menegaskan bahawa permasalahan yang membelenggu masyarakat seperti masalah sosial di kalangan remaja berpunca daripada krisis tentang keyakinan diri atau krisis spiritual.
“Masyarakat kita rajin melakukan ibadah ritual seperti sembahyang, puasa, zakat, umrah dan menunaikan haji. Malangnya ramai yang melakukannya dengan perasaan
kosong kerana belum tertanam keyakinan tentang kebesaran Allah SWT yang Maha Berkuasa, seperti keyakinan yang diperoleh oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa semasa di Bukit Thursina atau Nabi Muhammad S.A.W, semasa di gua Hira’,”ujarnya.
Sesungguhnya, menurut Legisan, jika keyakinan akan kewujudan kebesaran Allah SWT ada pada seseorang sehingga ia sedar bahawa ia senantiasa dilihat Allah, sudah pasti tidak akan berlaku salah laku sama ada dalam kehidupan sosial, semasa bekerja dalam syarikat atau semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan negara.

Kaedah berkesan untuk timbulkan kesedaran
Editor Pa&Ma, Liza Ali merupakan salah seorang di antara 56 peserta Karangkraf yang hadir pada kursus tersebut. Beliau yang turut dapat merasakan perasaan yang amat indah terhadap kecintaan dan keimanan terhadap ALLAH S.W.T berkata, “Selama ini kita lebih terdedah kepada ritual dan hukum hakam agama sahaja tanpa kita benar-benar yakin pada ALLAH S.W.T. “
“Sekalipun, kita mengucap syahadah tetapi hakikatnya, sifat dan amalan kita seharian sangat bertentangan kerana kita tidak sedar bahawa ada belenggu jahat yang menutup pintu hati kita. Saya optimis menyatakan bahawa setelah hati kita dibersihkan dan nilai-nilai murni digilap semula, insya-ALLAH kita akan menjadi insan yang baik dan berjaya dunia dan akhirat.”
Tambahnya lagi, “Saya menyarankan kursus ini kepada semua ibu bapa agar mereka mampu membimbing anak-anak menuju ke jalan yang diredhai ALLAH. Rugi kalau kita tidak menjalani hidup yang begitu singkat ini dengan hati yang penuh tulus dan suci murni.”
Jika selama ini, kata Liza, kita mudah berasa marah, prasangka dan resah, insya-ALLAH setelah jiwa kita bersih, kita akan melihat semua insan di dunia ini khususnya anak, pasangan, keluarga dan rakan sekerja dengan pandangan penuh kasih sayang. Kita akan rasakan kedamaian, ketenangan, keindahan dan rahmat dari ILAHI.
Beliau yang juga merupakan novelis popular dengan nama pena Liza Zahira, beriltizam untuk menghasilkan novel-novel yang mampu menyuntik nilai-nilai murni ke dalam hati para pembaca. Semoga dengan cara ini, jati diri masyarakat akan menjadi lebih kental dan berdaya saing dalam usaha membangunkan sebuah tamadun Islam yang dinamik pada abad ini.


Novelis Taiwan turut sertai latihan
Antara keistimewaan training ESQ angkatan 26 adalah terdapat dua orang peserta dari Taiwan. Salah seorang di antaranya adalah Jane Chen, seorang penulis buku berkisar kisah cinta dan kasih sayang ‘Embrace Love & Beauty’. Beliau hadir ditemani oleh
seorang penterjemah dari Malaysia, Mary.
Sekalipun penyampaian training dilakukan menggunakan bahasa Melayu, tetapi hal itu tidak menghalang Jane memahami isi kandungan training melalui bantuan penterjemahnya. Jane mengakui, training The ESQ Way 165 dapat menghurai segala
kekusutan yang membelenggu jiwa dan menjawab segala persoalan yang menghuni kotak fikiran.
"Saya berasa semakin dekat dengan Tuhan yang telah menciptakan saya dan
menghantar saya hidup ke dunia," ujarnya. Walaupun training menggunakan rujukan Ihsan, Iman dan Islam, nilai yang ditanamkan adalah nilai yang universal iaitu tentang kasih sayang, jujur, disiplin, dan tanggung jawab. Pengalaman mengikuti kursus ini yang melahirkan rasa cinta pada pencipta akan saya tulis dalam buku saya yang akan datang," kata Jane Chen.

1 comment:

Zuraini said...

Assalamualaikum

moga Allah memberikan hidayahNya kepada Jane Chen... insya Allah...

sesungguhnya apa jua ibadah yang diperintahkan Allah itu banyak yang tersirat di balik yang tersurat, dan beruntunglah mereka yang mencari makna yang tersirat itu...