Saturday, July 26, 2008

Bank Negara kekalkan kadar faedah domestik

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@ bharian.com. my

BANK Negara Malaysia memutuskan mengekalkan kadar faedah tempatan di sebalik jangkaan ia akan menaikkannya berikutan kenaikan tinggi inflasi yang mencecah 7.7 peratus bulan lalu.

Jawatankuasa Dasar Monetari bank pusat itu dalam mesyuaratnya semalam mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.5 peratus.

Langkah itu diambilnya bertujuan mengelak daripada berlakunya gangguan terhadap asas ekonomi negara.

"Dalam tempoh 12 bulan akan datang, meskipun risiko inflasi yang lebih tinggi dan risiko pertumbuhan lebih rendah akan meningkat, perhatian segera harus diberikan untuk mengelakkan kelembapan ekonomi yang akan mengakibatkan pengangguran yang lebih tinggi.

"Pertumbuhan yang perlahan dengan sendirinya akan membendung kemungkinan berlakunya kesan kenaikan harga pusingan kedua terhadap inflasi dan seterusnya membendung kenaikan harga pada separuh kedua 2009," kata Bank Negara dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

OPR Bank Negara adalah penanda aras yang digunakan bank tempatan untuk menentukan kadar asas pinjaman (BLR) mereka. BLR di negara ini kini adalah antara 6.25 peratus hingga 6.8 peratus.

Bank pusat dalam kenyataannya itu menjelaskan, ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi menggalakkan pada separuh pertama tahun ini. tetapi dalam tempoh 12 bulan akan datang, ia dijangka berdepan tempoh lebih mencabar kerana risiko inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan meningkat dengan lebih ketara.

Katanya, penilaian menunjukkan pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan dengan kelembapan lebih nyata dan berpanjangan di beberapa negara maju, dan pertumbuhan lebih sederhana di negara sedang pesat membangun.

Pada masa sama, katanya, harga komoditi dan tenaga dijangka kekal pada paras yang tinggi, lantas meningkatkan inflasi dalam ekonomi global.

Berdasarkan senario itu, katanya, ia menjangkakan inflasi akan kekal pada paras yang tinggi pada separuh kedua tahun ini dan awal tahun depan sebelum menyederhana menjelang pertengahan 2009.

Bank pusat itu mengunjurkan purata inflasi bagi seluruh tahun ini berada pada dalam lingkungan 5.5 peratus hingga 6.0 peratus.

Ia turut menegaskan bahawa dengan kekuatan asas sedia ada, serta sektor perbankan yang berdaya tahan, ekonomi Malaysia berpotensi kembali mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam jangka sederhana.

No comments: