Saturday, April 18, 2009

Bali (12-16 April 2009)
































Assalammualaikum wrt,
Akhirnya kaki saya menjejak tanah Bali pada minggu lalu. Empat hari sebenarnya tidak cukup untuk melihat, memahami dan memberi komen yang adil tentang Bali. Cuma pada saya, cuacanya hujan dan panas (lebih panas dari Malaysia) membuatkan ada kala saya rasa rimas. Tetapi bila berada di tanah tinggi seperti Kitamani & Bedigul keadaan lebih nyaman. Kalau hendak bercerita tentang Bali memang panjang tetapi pada masa yang terhad ini saya menyatakan yang saya lebih senang dengan suasana laut Malaysia berbanding Bali. Meski pun di sini kita boleh melihat para peluncur meliuk lentuk di atas puncak ombak menguji skil masing-masing. Saya turut berpeluang menaiki bot kaca untuk melihat karang & hidupan laut. Hmmm...tapi pada saya Tioman lebih indah.

Memang mengujakan bila waktu kita sama. Jadi, bila sampai di sini anda tidak perlu menukar waktu. Cuma bezanya matahari cepat lebih kurang 2 jam. Subuh jam 4.00 pagi dan maghrib jam 5.00 ptg. Masjid tidak banyak di sini kerana penduduk Islam hanya 10 %. Selebihnya Hindu dan ada sedikit Budha (kaum Cina yang biasanya menjadi taukeh-taukeh restoran dan gedung-gedung besar).

Di sini suasananya aman dan anda bebas berjalan siang & malam. Pusat-pusat spa tumbuh bagai cendawan lepas hujan tetapi sekali lagi pada saya urutan di Malaysia jauh lebih enak. Jadual perjalanan memang ketat menyebabkan saya dan keluarga gagal bermalas-malasan di pantai sedangkan itulah kegemaran kami...berenang, bersnokling dan bermain pasir.

Mungkin kami akan ke sini sendirian tanpa kumpulan kerana acaranya tentu akan lebih bebas dan peluang untuk bersantai atau ber'island hoping' lebih panjang. Apa pun, Bali tetap indah buat penggemar seni kraf. Penduduknya sangat komited menghasilkan kraf yang sangat halus dan indah.

Paling menarik bagi pelancong Malaysia di sini ialah 'shopping'. Apapun, pada saya kalau bershopping sakan tentu paling seronok dan sesuai di Bandung, Jakarta dan Padang. Insya-ALLAH saya akan ke Padang untuk mendapatkan busana muslimah yang berkualiti pada harga yang sangat berpatutan. Seterusnya agenda saya ialah hendak menunaikan Umrah (insya-ALLAH) tahun depan. Ya Rahman Ya Rahim, jemputkan aku sekeluarga sebagai tetamu-Mu. Amin.

Pencarian Rohani & jejak sejarah
Memandang wajah-wajah melayu di sana hati menjadi sayu. Bali adalah tinggalan orang-orang besar kerajaan Majapahit yang lari selepas penjajahan Belanda di Indonesia. Masihkah anda ingat tentang kisah Parameswara yang datang ke Tanah Melayu dan membuka Melaka? Parameswara berasal dari kerajaan Majapahit dan merupakan penganut Hindu (Alhamdulillah, syiar Islam sampai di bumi tercinta ini dan Parameswara serta rakyat jelata beriman kepada kepada ALLAH SWT hingga dapat dinikmati oleh kita semua hari ini).
Orang melayu di Bali sangat patuh pada ajaran agama mereka iaitu Hindu dan sangat menghormati tetamu. Bayangkan kalau Islam tidak sampai di Tanah Melayu, maka mungkin keadaan di Bali adalah cerminan kehidupan kita dahulu kala hingga kini. Di Bali ada jalan Hang Tuah dan tempat yang bernama Ulu Melaka. Sebab itulah, hati saya terasa sangat dekat dan sayu. Alangkah indahnya jika kita semua bersaudara...

No comments: