Saturday, November 22, 2008

Bulan yang penuh suka duka
















ACHO DALAM KENANGAN (Nov 2008-18 Nov 2009)

Tahun lalu, sewaktu cuti sekolah begini, anakku, Zahirah merengek mahu memelihara anak kucing. Suatu hari, ketika di ofis, aku mendapat panggilan telefon daripada Zahirah yang ayahnya menjumpai seekor anak kucing di dalam longkang. Lepas kerja aku bergegas ke Giant Shah Alam. Barang yang aku beli bukan barang dapur tapi tray untuk meletakkan pasir kucing dan makanan untuknya.

Sebaik sampai di rumah, aku meletakkan pasir di dalam tray dan si kecil itu tanpa membuang masa melepaskan hajatnya. Aku tersenyum puas. Meskipun masih kecil dia memang ‘bijak’ mengatur bahan buangannya. Sejak itu, aku menjadi pembeli pasir yang setia kerana si kecil yang kupanggil Acho akan bising kalau pasirnya sudah kotor. Maklumlah harga pasir tu hampir menyamai harga beras.

Malah, dia tidak mahu makan makanan dalam tin mahu pun biskut kucing. Dia hanya mahu ikan rebus. Bayangkan kadang-kala kami makan telur tapi dia makan ikan rebus segar. Memang cita rasa Acho sangat tinggi.

Yang paling best, Acho akan ‘menyusu’ kalau lapar. Caranya dia akan menghisap baju Zahira sampai lencun. Itu tandanya dia lapar. Mungkin dia anggap Zahira sebagai ‘ibunya’ kerana Zahira yang sering membuli dan memanjakannya. Setiap kali Zahirah ke tandas atau ke bilik mandi, Acho akan menjadi peneman di depan pintu.

Di sekitar rumahku, dia tidak ada ‘kawan’ kerana yang ada hanya kucing liar yang sememangnya garang dan sering membuli Acho. Setiap kali dia mengambil angin di luar, kami sentiasa bersedia untuk menyelamatkannya apabila diganggu si Simpol, yang kami gelar Gangster Blok 3, Seroja. Si Simpol seolah-olah cemburu dengan ketampanan Acho. Kalau Acho tidak keluar, dia pasti akan datang ke depan pintu dan mereka akan bergaduh “suara”.

Tapi bila hujung minggu, aku tetap benarkan dia keluar untuk memenuhi tuntutannya sebagai kucing jantan yang macho. Bulu Acho putih bertompok oren, memang cantik. Aku pasti, kucing betina akan tertarik padanya. Aku harap Acho mampu menyesuaikan diri bila berada di luar rumah. Biasanya kalau tidak dikerjakan oleh Si Simpol, dia akan pulang sendiri keran lapar atau hendak buang air. Paling tidak, kami akan mencarinya sampai jumpa di tempat yang dia gemar berpeleseran iaitu di bawah kereta atau di celah pokok serai.

Acho membesar dengan pelbagai perangainya yang sangat istimewa. Berlagak garang tapi berhati lembut. Setiap kali pulang ke kampung, dia kelihatan sangat gembira kerana bebas merayau dan bermain dengan kucing-kucing ibuku, Nyot & Nyet. Mereka bertiga sangat serasi.


Teman Baru

Bulan September, suamiku membawa pulang seekor anak kucing putih yang comel yang mungkin kehilangan ibu. Si kecil, aku panggil Baby Manis. Memang dia sangat comel kerana seluruh bulunya putih dan ekornya akan kembang bila rasa terancam. Matanya pula sebelah warna biru dan sebelah warna kuning. Ternyata Acho dapat menerima kehadiran si kecil. Walau pun pada awalnya dia agak janggal terutamanya bila melihat bakul kecil tempat dia tidur dulu digunakan pula oleh Baby Manis.

Memang lucu bila Acho yang sudah begitu besar, masih mahu tidur berhimpit dengan Baby Manis dalam bakul kecil itu. Selepas beberapa hari, barulah dia merelakan bakul kecilnya menjadi milik Baby Manis.

Tapi semakin si kecil membesar, nampak jelas dia yang selalu membuli Acho. Aksi yang paling digemarinya ialah Smack Down. Acho langsung tidak melawan, sebaliknya akan lari ke tempat tinggi agar tidak diganggu.

Malah, Acho hanya maintain macho walaupun makanannya selalu di curi si kecil. Bukan itu sahaja, tempat kegemarannya pun selalu diganggu si Baby Manis yang memang kuat bergurau.


Hilang 9 hari

7 November, aku menghadiri pembentangan majalah di Petaling Jaya selama 3 hari. Hari itu jugalah Acho keluar rumah dan tidak pulang-pulang. Puas kami cari tapi tak jumpa. Ku sangka dia sudah menemui teman hidupnya dan memilih untuk tidak pulang.

Hari ke-9 kehilangannya, dia pulang pada jam 3.00 pagi. Waktu itu ikan rebus sudah habis. Melihat dia kelaparan, suamiku memberikan tuna dalam tin dan biskut kucing Baby Manis. Dia makan dengan lahap meskipun kedua-dua makanan itu memang tidak digemarinya.

Keesokannya dia mula muntah. Kusangka dia hanya demam dan mungkin kerana makan biskut tersebut. Tubuhnya yang kotor dibersihkan dan luka-luka dibadannya kusapukan ubat. Hari kedua, dia mula kelihatan lemah dan muntah lagi. Kali ini dia tidak langsung menjamah ikan rebus kegemarannya.

Minumpun aku paksa dengan menggunakan straw. Aku harap dia akan pulih tapi sebaliknya keadaannya semakin teruk. Hari Selasa petang aku bawa dia ke klinik sebaik pulang dari kerja. Doktor yang memeriksa menyatakan yang Acho mungkin mengalami jangkitan virus kerana suhunya sangat rendah iaitu 32°C berbanding suhu normal antara 37 – 38°C. Dia menasihatkan agar Acho ditahan wad dan diambil sample darah.

Tapi hatiku mulai cuak. Aku ingin menjaga sendiri Acho. Lalu dia nasihatkan aku menggunakan botol air panas untuk menghangat tubuh Acho dan memujuk Acho makan. Jika tidak Acho mungkin mati. Selepas itu doktor memberikan 2 suntikan iaitu suntikan antibiotik dan suntikan menahan muntah. Kemudian, dia memberi aku beberapa biji pil untuk diberikan kepada Acho keesokan harinya.

Sebaik pulang dari klinik, aku singgah di farmasi untuk membeli botol berkenaan. Seterusnya aku ke kedai dan membeli ayam untuk direbus. Doktor kata bau ayam boleh membangkitkan nafsu makan haiwan yang sakit.

Tiba di rumah aku lakukan semua yang diarahkan oleh doktor. Tapi Acho enggan makan walau pun disuap. Suamiku membeli syringe di klinik dan kami beri dia minum susu.

Dalam keadaan lemah Acho berjalan ke bilik air. Kusangka dia hendak muntah tapi tidak. Baby Manis yang selalu kena kurung sejak Acho sakit tetap hendk bergurau dengan Acho hingga membuatkan dia tumbang. Memang Baby Manis tidak mengerti keadaan Acho yang lemah. Selepas beberapa ketika kuangkat Acho dan masukkan dia ke dalam sangkar yang sudah dilapik kain batik yang sudah lusuh dan tuala mandi lama. Di bawahnya kuletakkan botol air panas supaya tubuhnya kembali panas.

Aku masuk tidur dengan harapan Acho akan sihat kerana memang dia nampak lebih sihat selepas disuntik. Jam 2 pagi Acho ke bilik air dan muntah lagi. Sebelum tidur, suamiku memasukkan Acho kembali ke dalam sangkar untuk mengelakkan diganggu oleh Baby Manis.

Jam 3.00 pagi, aku terkejut kerana mendengar erangan Acho. Aku bangun dan melihat Acho sedang bertarung dengan maut di dalam sangkar. Aku lihat bagaimana Acho habis nyawa sedikit demi sedikit. Kulihat denyutan nadinya berhenti peringkat demi peringkat bermula dari tengkuk dan akhir sekali di kaki.

Lebih kurang jam 3.20 tubuh Acho keras sepenuhnya. Matanya yang terbuka kuraup dengan tanganku. Aku tidak mengejutkan anak dan suamiku kerana aku sedar, tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi. Sudah suratan Acho pergi pada waktu dia pulang 3 hari lalu dan genap setahun dia menumpang teduh di rumahku. Yang lebih penting, aku turut menumpang kasihnya yang suci murni.

Masa itu, sebutir pun air mataku tidak gugur. Aku hanya ditemani oleh Baby Manis yang masih terkinja-kinja hendak bergurau dengan Acho. Dia menguis-nguis ekor Acho dari luar sangkar. Waktu aku mencari kain bersih untuk menutup tubuhnya, Baby Manis masuk ke sangkar dan melakukan aksi biasa yang dilakukan sewaktu Acho sihat.

Kutarik keluar Baby Manis dan kututupi tubuh Acho dengan kain. Waktu itu, barulah air mataku keluar berjujuran. Dan aku menangis hingga tertidur semula di sofa. Aku cuba menahan air mata kerana bimbang ditertawakan oleh orang lain kerana menangisi kematian seekor kucing.

Tapi ternyata, kesedihan yang kupendam, rupa-rupanya memakan diri. Hari ini iaitu sehari selepas Acho pergi, aku menangis teresak-esak di dalam kereta (tempat aku sering melepaskan kesedihan). Hari ini aku mahu menangis puas-puas. Aku tidak mahu membendung perasaan lagi. Hingga aku memutuskan untuk menulis catatan ini sebagai ingatanku kepada Acho. Benarkah Acho kembali hanya untuk mati di depanku? Entahlah…

Meskipun Acho hanya seekor kucing tapi Acho sering membuatku ketawa dengan telatahnya. Acho sering membuatkan aku lupa tentang erti duka dan tekanan. Dengan Acho aku sering berbual tentang apa-apa sahaja. Acho, teman sejatinya yang sungguh suci ciptaan ILAHI.



































4 comments:

zAnNa@mAMaBaTriCE said...

sedihnya bc kisah Acho
bergenang air mata......sedih...
even Acho hanya seekor kucing...tp dia makhluk Allah juga...pandai tunjuk kasih sayang...pandai hargai kebaikan...

teringat pada Kimiey...kucing zana yg hilang ntah kemana tak dpt di kesan...kalaulah kimiey ada lagi...sure, skang nie tengah bergurau, berlari2 dia dlm rumah

Anonymous said...

ckp ttg kucing..sy pun salah satu p'gemar kucing..Nemo diberi nama..namun ia bkn sekadar kucing biasa,cuz dia kucing baka kacukan..bulunya lebat..putih tompok itam..amat montel dan gemuk..sudah 7bln sy memeliharanya..arap2 dia akn terus sihat..sy amt b'simpati ttg kucing akk..kate org tua2..kucing dpt m'bantu kita megurangkan azab seksaan di akhirat 6t..amin~

m.q said...

sedeynya kisah acho ni
skrg tgl baby saja ka?
uhuk uhuk...sian baby
tentu dia mncri acho

Anonymous said...

sy dulu pn pernah ada seekor kucing yang diberi nama Roger. sy memang menangis teresak-esak ketika kematiannya ibarat sy kehilangan orang yang paling sy sygi. semoga liza tabah kan dah ada baby manis sebagai pengubat rindu.mungkin itu hikmat yang tersirat kerana acho akn meninggalkan akak dan dia tahu dia akn pg utk selamanya...