Sunday, June 29, 2008

Ujian

Dalam usia menginjak 36 tahun ini, tanpa disangka sekali lagi saya teruji. Mengenai apa? Biarlah rahsia. Cuma yang dapat saya kongsikan di sini, ujian tersebut telah mengajar saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain termasuk orang yang paling rapat dengan saya.

Saya benar-benar tidak menyangka yang saya telah ditipu hidup-hidup. Segala kepercayaan yang saya berikan telah dipijak-pijak seperti sampah. Saya binggung mengapa begitu mudah seorang manusia boleh melupakan kekhilafannya yang lalu. Apakah yang dia fikir tentang hidup ini? Adakah hidup ini hanya sandiwara dan padang permainan semata-mata? Madu yang kuberi, tuba dibalas? Hingga saya berasakan hendak memandang wajahnya pun saya tidak sudi lagi. Apatah lagi hendak berkata-kata. Betapa sukar untuk saya menjadi pemaaf kali ini.

Alhamdulillah, petunjuk ALLAH jelas membuktikan bahawa naluri insan yang dikhianati itu akhirnya tanpa semena-mena dapat membongkar segala penipuan yang berlaku. Kini saya semakin mengenali dirinya. Dia, kini dan akan datang tidak mungkin akan menjadi orang yang berbeza. Saya terus tersedar dari mimpi yang panjang dan saya harus keluar dari belenggu. Saya perlu mencipta kecemerlangan dan meninggalkan orang-orang yang mungkin hanya akan menarik saya ke bawah.

Kepada dia atau insan lain yang sama ada secara sengaja atau tidak sengaja mengguris perasaan insan yang lain, saya nasihatkan agar segeralah sedar supaya anda tidak dipulaukan oleh orang yang dekat dengan anda.

Pada saya, sebagai insan yang serba-serba tidak sempurna, saya maafkan dia. Tetapi kepercayaan yang hilang tidak mungkin dapat saya kembalikan buat masa ini, bulan ini, tahun ini atau hingga nyawa meninggalkan badan.

Sebuah persahabatan seharusnya didokong oleh kejujuran, kesetiaan dan keikhlasan. Untuk apa ia diteruskan lagi andainya "selimut kedinginan" semakin menebal? Buat insan yang dimaksudkan, terima kasih saya ucapkan atas segala "kesakitan" yang saya rasai. Dengan pengalaman ini, menjadikan saya lebih kuat dan penuh "ilmu" untuk menjadi penulis yang prolifik.



No comments: