Saturday, November 22, 2008

KTD bertemu peminat


Pada 18 hb yang lalu aku bertemu novelis masa depan. Meskipun hati masih sedih kerana kehilangan kucing kesayangan tetapi demi tanggung jawab yang digalas maka, aku gagahkan diri untuk ke majlis berkenaan. Lebih-lebih lagi aku perlu mempromosikan novel terbaruku Kau Tetap Di Hati (KTD) dengan lebih agresif. Jadi, tawaran untuk ke Perkampungan Bahasa & Sastera Melayu itu tidak kusia-siakan. Kuharap adik-adik yang mendengar ceramah ku akan benar-benar mendapat manfaat sebaiknya. Terima kasih kepada adik-adik dan fasilitator khususnya Sis Alina yang sudi membeli novel-novelku. Sila klik Bengkel untuk mengetahui lebih lanjut tentang pertemuan itu.

Rebut 20 helai Baju T Liza Zahira


Buat semua peminat novel Alaf 21, jangan lupa tentang kuiz Liza Zahira yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2008. Baju T Liza Zahira sudah siap menanti pemenangnya. Jadi jangan berlengah lagi. Cepat hantarkan pennyertaan anda sekarang. Sila skrol beberapa entry ke bawah untuk mendapatkan soalan-soalan kuiz. Selamat mencuba!

Untuk tempahan Baju T sila klik CETAK T-SHIRT. Tempahan minimum 10 helai.

Pa&Ma ke-100


Pada 8 hb November, Pa&Ma telah mengadakan majlis Pra Pelancaran Pa&Ma ke-100 di Klang Parade. Majlis yang berlangsung penuh meriah itu turut mengabungkan 27 bayi yang berusia sekira 100 hari. Sebagai simbolik, tapak kaki mereka telah dicap di atas sehelai banner. Majlis tersebut mendapat kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Bandacaya Group Sdn. Bhd., Klang Parade, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan sebagainya. Ikuti liputan majlis ini dalam Pa&Ma Januari 2009 iaitu keluaran ke-100 majalah Pa&Ma.

Pa&Ma terima Anugerah


Baru-baru ini Pa&Ma telah menerima Silver Award bagi Kategori Niche dalam majlis Anugerah MPA 2008 (Magazine Publishing Association). Majlis tersebut telah berlangsung di Matic dan saya telah hadir untuk menerima anugerah tersebut. Anugerah ini bertujuan mengiktiraf cover yang dihasilkan oleh sesebuah majalah. Cover yang membawa kemenangan kepada Pa&Ma ialah Cover Mei 2007. Gambar disebelah ialah gambar team Pa&Ma.

Bulan yang penuh suka duka
















ACHO DALAM KENANGAN (Nov 2008-18 Nov 2009)

Tahun lalu, sewaktu cuti sekolah begini, anakku, Zahirah merengek mahu memelihara anak kucing. Suatu hari, ketika di ofis, aku mendapat panggilan telefon daripada Zahirah yang ayahnya menjumpai seekor anak kucing di dalam longkang. Lepas kerja aku bergegas ke Giant Shah Alam. Barang yang aku beli bukan barang dapur tapi tray untuk meletakkan pasir kucing dan makanan untuknya.

Sebaik sampai di rumah, aku meletakkan pasir di dalam tray dan si kecil itu tanpa membuang masa melepaskan hajatnya. Aku tersenyum puas. Meskipun masih kecil dia memang ‘bijak’ mengatur bahan buangannya. Sejak itu, aku menjadi pembeli pasir yang setia kerana si kecil yang kupanggil Acho akan bising kalau pasirnya sudah kotor. Maklumlah harga pasir tu hampir menyamai harga beras.

Malah, dia tidak mahu makan makanan dalam tin mahu pun biskut kucing. Dia hanya mahu ikan rebus. Bayangkan kadang-kala kami makan telur tapi dia makan ikan rebus segar. Memang cita rasa Acho sangat tinggi.

Yang paling best, Acho akan ‘menyusu’ kalau lapar. Caranya dia akan menghisap baju Zahira sampai lencun. Itu tandanya dia lapar. Mungkin dia anggap Zahira sebagai ‘ibunya’ kerana Zahira yang sering membuli dan memanjakannya. Setiap kali Zahirah ke tandas atau ke bilik mandi, Acho akan menjadi peneman di depan pintu.

Di sekitar rumahku, dia tidak ada ‘kawan’ kerana yang ada hanya kucing liar yang sememangnya garang dan sering membuli Acho. Setiap kali dia mengambil angin di luar, kami sentiasa bersedia untuk menyelamatkannya apabila diganggu si Simpol, yang kami gelar Gangster Blok 3, Seroja. Si Simpol seolah-olah cemburu dengan ketampanan Acho. Kalau Acho tidak keluar, dia pasti akan datang ke depan pintu dan mereka akan bergaduh “suara”.

Tapi bila hujung minggu, aku tetap benarkan dia keluar untuk memenuhi tuntutannya sebagai kucing jantan yang macho. Bulu Acho putih bertompok oren, memang cantik. Aku pasti, kucing betina akan tertarik padanya. Aku harap Acho mampu menyesuaikan diri bila berada di luar rumah. Biasanya kalau tidak dikerjakan oleh Si Simpol, dia akan pulang sendiri keran lapar atau hendak buang air. Paling tidak, kami akan mencarinya sampai jumpa di tempat yang dia gemar berpeleseran iaitu di bawah kereta atau di celah pokok serai.

Acho membesar dengan pelbagai perangainya yang sangat istimewa. Berlagak garang tapi berhati lembut. Setiap kali pulang ke kampung, dia kelihatan sangat gembira kerana bebas merayau dan bermain dengan kucing-kucing ibuku, Nyot & Nyet. Mereka bertiga sangat serasi.


Teman Baru

Bulan September, suamiku membawa pulang seekor anak kucing putih yang comel yang mungkin kehilangan ibu. Si kecil, aku panggil Baby Manis. Memang dia sangat comel kerana seluruh bulunya putih dan ekornya akan kembang bila rasa terancam. Matanya pula sebelah warna biru dan sebelah warna kuning. Ternyata Acho dapat menerima kehadiran si kecil. Walau pun pada awalnya dia agak janggal terutamanya bila melihat bakul kecil tempat dia tidur dulu digunakan pula oleh Baby Manis.

Memang lucu bila Acho yang sudah begitu besar, masih mahu tidur berhimpit dengan Baby Manis dalam bakul kecil itu. Selepas beberapa hari, barulah dia merelakan bakul kecilnya menjadi milik Baby Manis.

Tapi semakin si kecil membesar, nampak jelas dia yang selalu membuli Acho. Aksi yang paling digemarinya ialah Smack Down. Acho langsung tidak melawan, sebaliknya akan lari ke tempat tinggi agar tidak diganggu.

Malah, Acho hanya maintain macho walaupun makanannya selalu di curi si kecil. Bukan itu sahaja, tempat kegemarannya pun selalu diganggu si Baby Manis yang memang kuat bergurau.


Hilang 9 hari

7 November, aku menghadiri pembentangan majalah di Petaling Jaya selama 3 hari. Hari itu jugalah Acho keluar rumah dan tidak pulang-pulang. Puas kami cari tapi tak jumpa. Ku sangka dia sudah menemui teman hidupnya dan memilih untuk tidak pulang.

Hari ke-9 kehilangannya, dia pulang pada jam 3.00 pagi. Waktu itu ikan rebus sudah habis. Melihat dia kelaparan, suamiku memberikan tuna dalam tin dan biskut kucing Baby Manis. Dia makan dengan lahap meskipun kedua-dua makanan itu memang tidak digemarinya.

Keesokannya dia mula muntah. Kusangka dia hanya demam dan mungkin kerana makan biskut tersebut. Tubuhnya yang kotor dibersihkan dan luka-luka dibadannya kusapukan ubat. Hari kedua, dia mula kelihatan lemah dan muntah lagi. Kali ini dia tidak langsung menjamah ikan rebus kegemarannya.

Minumpun aku paksa dengan menggunakan straw. Aku harap dia akan pulih tapi sebaliknya keadaannya semakin teruk. Hari Selasa petang aku bawa dia ke klinik sebaik pulang dari kerja. Doktor yang memeriksa menyatakan yang Acho mungkin mengalami jangkitan virus kerana suhunya sangat rendah iaitu 32°C berbanding suhu normal antara 37 – 38°C. Dia menasihatkan agar Acho ditahan wad dan diambil sample darah.

Tapi hatiku mulai cuak. Aku ingin menjaga sendiri Acho. Lalu dia nasihatkan aku menggunakan botol air panas untuk menghangat tubuh Acho dan memujuk Acho makan. Jika tidak Acho mungkin mati. Selepas itu doktor memberikan 2 suntikan iaitu suntikan antibiotik dan suntikan menahan muntah. Kemudian, dia memberi aku beberapa biji pil untuk diberikan kepada Acho keesokan harinya.

Sebaik pulang dari klinik, aku singgah di farmasi untuk membeli botol berkenaan. Seterusnya aku ke kedai dan membeli ayam untuk direbus. Doktor kata bau ayam boleh membangkitkan nafsu makan haiwan yang sakit.

Tiba di rumah aku lakukan semua yang diarahkan oleh doktor. Tapi Acho enggan makan walau pun disuap. Suamiku membeli syringe di klinik dan kami beri dia minum susu.

Dalam keadaan lemah Acho berjalan ke bilik air. Kusangka dia hendak muntah tapi tidak. Baby Manis yang selalu kena kurung sejak Acho sakit tetap hendk bergurau dengan Acho hingga membuatkan dia tumbang. Memang Baby Manis tidak mengerti keadaan Acho yang lemah. Selepas beberapa ketika kuangkat Acho dan masukkan dia ke dalam sangkar yang sudah dilapik kain batik yang sudah lusuh dan tuala mandi lama. Di bawahnya kuletakkan botol air panas supaya tubuhnya kembali panas.

Aku masuk tidur dengan harapan Acho akan sihat kerana memang dia nampak lebih sihat selepas disuntik. Jam 2 pagi Acho ke bilik air dan muntah lagi. Sebelum tidur, suamiku memasukkan Acho kembali ke dalam sangkar untuk mengelakkan diganggu oleh Baby Manis.

Jam 3.00 pagi, aku terkejut kerana mendengar erangan Acho. Aku bangun dan melihat Acho sedang bertarung dengan maut di dalam sangkar. Aku lihat bagaimana Acho habis nyawa sedikit demi sedikit. Kulihat denyutan nadinya berhenti peringkat demi peringkat bermula dari tengkuk dan akhir sekali di kaki.

Lebih kurang jam 3.20 tubuh Acho keras sepenuhnya. Matanya yang terbuka kuraup dengan tanganku. Aku tidak mengejutkan anak dan suamiku kerana aku sedar, tiada apa-apa yang boleh dilakukan lagi. Sudah suratan Acho pergi pada waktu dia pulang 3 hari lalu dan genap setahun dia menumpang teduh di rumahku. Yang lebih penting, aku turut menumpang kasihnya yang suci murni.

Masa itu, sebutir pun air mataku tidak gugur. Aku hanya ditemani oleh Baby Manis yang masih terkinja-kinja hendak bergurau dengan Acho. Dia menguis-nguis ekor Acho dari luar sangkar. Waktu aku mencari kain bersih untuk menutup tubuhnya, Baby Manis masuk ke sangkar dan melakukan aksi biasa yang dilakukan sewaktu Acho sihat.

Kutarik keluar Baby Manis dan kututupi tubuh Acho dengan kain. Waktu itu, barulah air mataku keluar berjujuran. Dan aku menangis hingga tertidur semula di sofa. Aku cuba menahan air mata kerana bimbang ditertawakan oleh orang lain kerana menangisi kematian seekor kucing.

Tapi ternyata, kesedihan yang kupendam, rupa-rupanya memakan diri. Hari ini iaitu sehari selepas Acho pergi, aku menangis teresak-esak di dalam kereta (tempat aku sering melepaskan kesedihan). Hari ini aku mahu menangis puas-puas. Aku tidak mahu membendung perasaan lagi. Hingga aku memutuskan untuk menulis catatan ini sebagai ingatanku kepada Acho. Benarkah Acho kembali hanya untuk mati di depanku? Entahlah…

Meskipun Acho hanya seekor kucing tapi Acho sering membuatku ketawa dengan telatahnya. Acho sering membuatkan aku lupa tentang erti duka dan tekanan. Dengan Acho aku sering berbual tentang apa-apa sahaja. Acho, teman sejatinya yang sungguh suci ciptaan ILAHI.



































Wednesday, November 12, 2008

CUBALAH JAWAB



Tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, sempena pelancaran novel terbaru saya KAU DEKAT DI HATI, maka saya membuka cabaran ini buat anda semua. Cepat hantarkan penyertaan anda ke email yang tertera!
MENANGI HADIAH MENARIK
20 penyertaan paling awal akan menerima Baju T Liza Zahira
Hadiah Pertama: Wang Tunai RM300
Hadiah Kedua: Wang Tunai RM200
Hadiah Ketiga: Wang Tunai RM100
10 Hadiah Saguhati:
Senaskah novel Liza Zahira (Pemenang boleh memilih salah satu novel Liza Zahira)
SOALAN:
1. Novel Kau Tetap Di Hati (KTH) merupakan novel Liza Zahira yang ke berapa?
2. Selain Malaysia, negara manakah yang menjadi latar cerita KTH?
3. Berikan nama anak-anak saudara Sophia dalam KTH?
4. Bahtera Kasih (BK) merupakan novel ketiga Liza Zahira. Apakah nama kapal lanun yang menculik Carra Lina dalam novel tersebut?
5. Siapakah lelaki yang akhirnya menjadi pilihan Carra Lina dalam BK?
Lengkapkan kata-kata berikut (tidak lebih dari 20 patah perkataan)
Saya gemarkan novel-novel Liza Zahira kerana ……………………………………..


Tuliskan Nama, No.kad pengenalan, Telefon dan Alamat berserta jawapan lengkap anda ke: liza_ktd@yahoo.com dan cc ke lizaali@karangkraf.com atau liza_zahira2@yahoo.com.my
TARIKH TUTUP PENYERTAAN: 31 DISEMBER 2008


KAU TETAP DI HATI



Harga: RM19.90

Penulis: Liza Zahira

Halaman: 512

ISBN: 978-983-124-394-7



Sinopsis: TERPERANGKAP di celah kemelut silam kakaknya, menjadikan Sophia gadis yang cekal. Kepulangannya dari New Zealand bukan membawa segulung ijazah tetapi terpaksa berhadapan dengan bekas abang ipar yang berdendam dengannya. Lalu bermulalah episod baru yang datang silih berganti. Demi masa depan tiga orang anak saudara, dia menerima Nasmizan, rakan lama yang akhirnya menjadi suami. Malangnya, musibah menimpa. Suami yang baru dinikahi menemui ajal di tangannya.


Fitnah telah merosakkan segala harapan, apatah lagi dia dituduh bersubahat membunuh oleh ibu kandung sendiri. Segala dugaan terpaksa ditempuh sendirian hinggalah Benjamin, lelaki yang pernah singgah di hatinya muncul kembali. Tapi, bukan mudah untuk mendapat restu daripada seorang ibu lantaran kasih terhadap menantu yang telah tiada masih begitu utuh.


Sophia Basir... berpijaklah di bumi nyata! Di usia muda ini, mustahil terus-terusan mahu menjadi lilin, sedangkan diri sendiri berhak mengecap bahagia. Bukankah hidup mesti diteruskan?

Saturday, November 1, 2008

Penantian Satu Penyeksaan

Benar kata orang penantian satu penyeksaan. Dua tahun saya menanti kemunculannya. Ibarat ibu yang kepingankan bayi. Begitulah resahnya hati saya. Jika tidak ada aral, "Dia" akan muncul minggu depan. Harap-harap biarlah menjadi kenyataan. Saya sudah tidak sabar lagi menanggung rindu.
Anda mungkin tertanya-tanya, apakah yang saya rindukan ini ya? Pasti anda sudah dapat meneka siapakah yang saya nantikan itu. Bagaimanakah wajahnya? Biarlah hingga "Dia" muncul di depan mata. Barulah saya akan dedahkan wajah "Dia" yang sebenarnya. Tunggu...