Sunday, September 28, 2008

KELAM KABUT SEBELUM CUTI

ALHAMDULILLAH, tanpa saya duga segala-galanya dapat diselesaikan dengan sempurna. Bermula dengan projek Novel ke-4 (Kau Tetap Di Hati), Calendar Wyeth Pa&Ma dan Pa&Ma isu Nevember. Semuanya perlu diselesaikan sebelum bercuti raya (Jumaat -26 Sept). Bayangkan orang lain sibuk bercerita tentang persiapan raya, saya masih bersengkang urat mata menggadap ketiga-tiga projek berkenaan. Memang tension.

Anak saya sudah mula bertanya, "Ibu bila nak beli baju raya?" Jawap saya, "Ibu sibuk, hari Sabtu nanti kita pergi." Nasib baik anak seorang, bolehlah shopping last minute. Kalau tidak memang haru biru. Walau pun jarak ofis dengan PKNS Shah Alam hanya sekangkang kera, memang saya tidak sempat langsug menjejakkan kaki ke sana. Setiap waktu adalah bernilai bagi saya.

Tidak sabar rasanya hendak melihat hasil usaha yang dicurahkan itu lepas raya nanti. Lebih-lebih lagi novel keempat saya yang mengambil masa lebih 2 tahun untuk direalisasikan. Novel terakhir saya ialah pada tahun 2006 iaitu Bahtera Kasih. Saya harap kali ini Kau Tetap Di Hati akan lebih diterima peminat kerana kisahnya memang dekat dengan hati kita. Pengalaman berhadapan dengan persimpangan antara A dan B, pengalaman berselisih pendapat dengan ibu, pengalaman kehilangan orang yang disayang dan banyak lagi pengalaman yang mungkin pernah terjadi pada diri anda.

Tetapi Kau Tetap Di hati bukan cerita biasa-biasa kerana telah saya garap dengan keindahan bumi New Zealand, keperitan gadis yang terpaksa menjadi "ibu tunggal" dan banyak lagi yang hanya akan anda dapati dalam novel ini. Nantikan ia di pasaran tidak lama lagi.

Lebih sadis raya ni memang bajet merudum kerana 2 tayar kereta perlu ditukar, servis perlu dilakukan, insurans & road tax dah nak tamat, belum lagi kira bajet shopping raya. Walau pun anak sorang tapi memang dah jadi tradisi untuk beri hadiah pada ahli keluarga yang memerlukan.....jadi memang melibatkan perbelanjaan yang besar. Huhuuhuu...memang tak larat nak kira dah....tapi yang penting kita perlu ikhlas...wang boleh dicari tapi kegembiraan pada Hari Raya hanya setahun sekali dan mungkin juga yang terakhir buat saya atau insan yang tersayang...siapa tahu?

Tahun ini memang saya amat sederhana dalam berbelanja, cukup sehelai baju kurung dan sehelai bluas baru. Untuk anak saya pun begitu. Yang lain-lain, mak-mak, abah-abah, along dan anak-anak buah....dapatlah sehelai. Raya pertama saya akan berada di rumah mentua di Kelana Jaya. Raya kedua baru balik Melaka.

Yang terakhir, duit raya. Anak saya dah tanya, "Ibu, baby dapat berapa duit raya?"Jawap saya, "Rahsia, mana boleh beritahu." Tapi sudah saya tunjukkan sampul-sampul raya yang sudah ditulis nama pemiliknya termasuklah dirinya. Jadi kenalah dia sabar sehingga pagi raya.

Begitulah tradisinya raya......bajet memang kena lebih. Memang duit boleh cari tapi kegembiraan dan kebahagian tidak boleh dijual beli. Yang pasti jangan sampai berhutang. Kalau kita terpaksa berhutang untuk menyediakan segala-galanya maknanya kita tidak mampu. Jadi, kenalah berusaha dan cari cara untuk tambah pendapatan agar setiap kali raya kita dapat memberi dengan lebih banyak lagi.

Nak tulis novel? Jomlah....jangan teragak-agak...serlahkan bakat anda. Tapi jangan lokek nak melabur. Belilah novel yang ada di pasaran sebagai panduan bagaimana hendak menulis dengan baik. Salam hormat, Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin.

Daripada saya,
Liza Zahira dan keluarga.

Saturday, September 13, 2008

SELAMAT BERPUASA

Sudah lama saya tidak menulis di sini. Ya, sebenarnya bukan mudah untuk menjadi blogger yang gigih. Saya tabik pada mereka yang begitu komited menulis setiap hari hingga blog mereka menjadi tatapan ribuan dan jutaan pembaca. Dulu, blog dianggap sebagai medan untuk meluahkan pandangan peribadi yang bebas tapi kini, anda jangan dengan mudah memasukkan unsur-unsur yang boleh dianggap menjejaskan keamanan negara. Trend semasa sekarang, sudah beberapa orang blogger ditahan dan disiasat. Yang terkini ialah penahanan seorang blogger, Raja Petra di bawah akta ISA.

Biarlah mereka dengan agenda mereka kerana setiap percaturan politik itu ada manfaatnya kepada diri mereka. Kepada kita, golongan marhain ini, kita teruskan sajalah kerja harian kita dan jadilah pemerhati sahaja. Maaf, saya tidak bermaksud hendak menyatakan yang saya anti-politik tetapi saya sekadar ingin menjelaskan bahawa saya sayangkan negara ini dan berharap segala kemelot akan cepat berakhir dengan suasana aman.

Lebih-lebih lagi dalam suasana kita sibuk berpuasa dan membuat persiapan raya ini. Tentu kita mahukan segalanya yang berjalan lancar. Tahun ini saya rasa adalah tahun saya berpuasa dalam keadaan yang tenang. Tidak kelam-kabut kerana boleh tiba di rumah jam seawal jam 6.00 petang dan singgah di bazar ramadhan untuk membeli juadah berbuka. Juadah yang paling saya gemar ialah laksam. Di gerainya makcik tu hanya jual laksam dan nasi kerabu sahaja, kira macam 'skala besar'. Ada sebuah gerai menjual laksam yang sedap di Pasar Ramadan Seksyen 6, Kota Damansara. Pastinya orang Kelantan. Opss..saya bukan anti orang Kelantan tetapi kebanyakan gerai yang saya singgah ialah gerai orang Kelantan kerana saya sukakan masakan Kelantan...nasi kerabu pun menjadi kegemaran saya.

Tapi sebagai orang Melaka, tak sah kalau tak makan buah Melaka. Di sana juga ada gerai yang menjual buah Melaka secara "skala besar". Maksud saya satu dulang besar menggunung dengan buah Melaka. Setakat ini saya belum pernah jumpa orang menjual begitu. Ertinya buah Melaka di gerai itu memang sedap dan laris.

Pendek kata saya lebih gemar membeli di gerai yang hanya menjual satu atau dua jenis juadah sahaja. Bagi saya gerai begini lebih mengkhusus dan menjaga kualiti makanannya. Selain gerai tadi ada juga gerai yang hanya menjual tepung pelita sahaja dan ada yang hanya menjual kuih talam/kukus sahaja. Ini pun salah satu gerai yang sesak. Macam-macam talam ada, gula melaka, durian, sri muka, cendol, genggang, keladi dan macam-macam lagilah....sabarjelah...baru pukul 10.00 pagi nihhh...hihihi.

Kita lupakan dulu bab juadah ni. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberitahu progress novel saya yang terkini. Tajuknya dah ada, 'Kau Tetap Di Hati'. Tapi covernya belum siap lagi. Nanti kalau dah siap saya akan upload untuk tatapan anda semua. Mungkin hujung tahun ini akan berada di pasaran. Doakanlah ya...