Sunday, September 30, 2007

Ibu kota Perit


Pada 19 Ogos lalu, saya dan keluarga berkesempatan mengunjungi Jakarta iaitu destinasi ketiga saya di Indonesia selepas Medan dan Bandung. Sebelum pergi, hanya dua gambaran yang diberi kepada saya oleh rakan-rakan yang sudah ke sana iaitu Mangga 2 dan Macit (kesesakan lalu lintas). Selain saya, Intan Jastina, rakan di Pa&Ma turun serta bersama keluarganya.

Tiba di lapangan Soekarno Hatta, saya sudah dikejutkan dengan kesesakan. Kami terpaksa berbaris panjang untuk melepasi pemeriksaan imegresen (menunjukkan betapa ramainya yang bau turun dari pesawat. Kami juga terserempak dengan Shreak (gelaran yang diberi oleh sekumpulan mat salleh kepada salah seorang rakan mereka sendiri yang berjambang dan rendang. Rasa terhibur mendengar telatah mereka yang mengejek sesama mereka. Seorang lagi mendapat gelaran donkey -macam budak-budak tetapi menghiburkan.

Kemudian kami terus ke Hotel Soffian Betawi. Makanan di hotel ini memang enak dan harganya pun berpatutan. Lepas letak beg kami terus ke Tanah Abang.Hari minggu banyak kedai yang tutup tapi tetap ramai orang. Sempat shopping apa-apa yang patut. Kami makan di food court, menu yang dicari tentulah nasi sunda (nasi putih, ayam goreng butter, dedap & sup). UMMM...SEDAP!



Malam kami pusing Jakarta dengan "bajai" atau tut-tut yang
menggunakan enjin motosikal dan ditambah dengan tempat duduk
penumpang di belakangnya. Sampai putus clatch motor tu sebab bawa muatan "berat" - 4 org satu bajai termasuk pemandunya. Sabar ajelah.....tapi dia dah untung sebab "pau" kami 150 ribu rupiah. Lebih kurang RM50 mahal tuuuuu....tak pelah kami sedekah yang terlebih tu. Malam ini kami makan di restoran padang di depan hotel.




Hari ke-2 kami ke tempat yang amat popular iaitu Mangga 2. Rupa-rupanya bukan satu bangunan tapi lebih 4 termasuk Mangga 2 ITC dan Harco Mangga 2 (brg elektronik & IT dan yang paling Eksklusif ialah Mangga 2 Square (mcm One Utama kalau di KL). Kami pindah ke Hotel Mangga 2 International dan hanya jalan kaki dlm 15 minit sahaja kalau nak ke ITC. Di sini kami terserempak dengan pelancong dari Riau. Merekamengajak kami ke sana. Naikferi dari Umbai ke Dumai. Insya-ALLAH kalau ada rezeki. Tiba di sini, kami tak sempat nak ambil gambar sebab kemaruk shopping. Kejadian di Bandung, nampaknya berulang lagi. Akibat terlalu sibuk tengok barang, maka gambar tidak sempat dirakamkan. Kalau anda nak tengok suasananya, kenalah datang sendiri ke Jakarta. Tapi tempat yang paling baik untuk bercuti dan shoping ialah Bandung. Malam kami Square, cari restoran sebab suasana food court Mangga 2 ITC tidak begitu menyenangkan (gerai jual daging babi bersebelahan dengan gerai-gerai halal). Jumpa restoran yang cantik dan bersih di tingkat 1. Makanannya pun enak dan murah (bagi orang Malaysia kott).

Hari ke-3 kami ke luar bandar menuju ke Puncak. Tempat ini
seperti Cameron Highlands. Ada ladang teh, strawberi dan ada air terjun.
Mula-mula kami ke National Park
iaitu taman bunga yang terbesar di
Jakarta dan mungkin Indonesia. Ada Taman Perancis, Taman Bali, Taman Belanda. Kami masuk ke mezz yang sangat besar nasib baik tidak sesat. Kemudian naik kereta api kecil macam di Genting. Memang menyeronokkan. Ada sejenis makanan tempatan yang sangat popular di sini, diperbuat daripada tepung pulut dan disira dengan gula merah. Kalau di Malaysia kuih ini disira dengan
gula putih. Saya memanggilnya
kuih lidah buaya. SEDAP!!!

Kerana masa dah suntuk, kami terus ke Bogor dan berkunjung ke Safari. Sayangya
hujan agak lebat menyebabkan penglihatan agak terbatas. Yang seronok, rusa, kuda belang dan llama sangat jinak. Mereka menghampiri kereta kami untuk mendapatkan makanan. Binatang di sini kelihatan sangat sihat kerana berada di habitat yang lebih semuala jadi berbanding zoo. Amat mengkagumkan apabila pagar-pagar elektrik dibina untuk memisahkan habitan singa dan harimau daripada haiwan lain. Pengunjung tidak dibenarkan memberhentikan kenderaan ketika berada di tempat haiwan ganas ini.
Untuk makan, kami memilih restoran sunda kerana makanannya lebih segar, enak dan dihidangkan panas-panas. Singgap di restoran Sawong ....(lupa pula nama penuhnya) di Bogor. Makan bersila dan restoran di kelilingi kolam ikan. Sambil makan kami dihiburkan dengan nyanyian dan mainan alat muzik. Hati puas, kami pun bayar bil...macam biasa MURAH!!!! bagi kami.
Jam 7 kami tiba di hotel. Jam 8 kami keluar pula sambil menyusur pasar malam berhampiran hotel Ibis (yang sentiasa penuh). Kemudian kami booking Plaza Hotel di Harco Mangga 2 untuk hari ke-4. Hotelnya agak kecil tetapi pekerjanya sangat ramah termasuk PR yang sangat profesional.
Hari ke-4 kami ke Square lagi untuk makan tengah hari dan shopping serta buat urusan refleksiologi. Di sini pekerjanya bukan orang buta tetapi anak-anak muda. Ahhh...memang melegakan. Lepas shopping, kami pulang ke hotel. Shopping di sini lebih aman kerana tidak ramai orang dan suasananya nyaman. Disebabkan tempat ini banyak pengangkut awam, maka kami memilih Angkutan Kota. Memang MURAHHHH!!!!
Hari ke-5, akhirnya keadaan yang panas, bingit dan perit itu kami tinggalkan juga. Melancong ke jakarta memang satu pngalaman yang tidakdapat kami lupakan. Kami merasai sendiri keperitan warga kotanya berjuang demi mencari sesuap nasi. Paling mengkagumkan sukar untukmencari remaja yang melepak. Paling tidak pun menjual air dicelah-celah lebuh raya.

Friday, July 6, 2007

DUGAAN

Begitu lama saya tidak ada entry baru. Saya menyepi kerana sibuk tapi novel keempat saya masih belum siap juga. Deadline Jun 2007 telah saya langgar. Ini adalah pertama kali saya langgar deadline yang telah saya tetapkan. Setengah tahun telah berlalu tanpa pencapaian produktiviti yang diharapkan.

Ditambah pula dengan PC & laptop rosak. Aduhhhhh...memang pening. PC dah sihat tapi yang sedih fail novel saya rosak!!!!!! Cuba minta bantuan rakan tapi masih belum menampakkan hasil. Jika gagal bererti saya perlu taip semula!!! Ohhhhh besarnya cabarannnnnn.....

Selain itu memang tahun ini saya banyak guna wang dan masa untuk berjalan. Bandung - China - Jakarta. Di samping itu saya turut mengikut program mengurus kewangan yang sedang begitu popular sekarang ini. Saya sibuk merancang itu dan ini. Belum lagi dengan perancangan majalah setiap bulan dan agenda pihak pengurusan.

Namun, itu semua hanya alasan untuk memujuk hati. Sedangkan saya TETAP dan MESTI siapkan juga novel saya. Doakan agar tugasan ini dapat diselesaikan dengan sempurna....Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan kejayaan saya. Wassalam.

Friday, June 8, 2007

9.6.96 Tarikh Keramat

Ulang tahun ke-11

Maaf entry untuk Beijing tidak dapat saya sambung kerana beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan. Insya-ALLAH kalau ada kesempatan akan saya luangkan masa.

Saya yakin semua orang ternanti-nanti tarikh 9.6 yang akan muncul esok. Ramai yang teruja kerana Pak Lah akan bernikah untuk kali kedua. Namun, yang lebih teruja tentulah saya kerana esok adalah tarikh keramat saya diijabkabulkan bersama suami tercinta. 9.6.96 tarikh yang sengaja dipilih demi merealisasikan impian sepasang kekasih pada 11 tahun lalu.

Pejam celik tidak sangka perkahwinan kami menginjak ke angka 11. Rumah tangga kami diperkukuhkan lagi dengan kehadiran seorang Puteri yang bernama Puteri Liza Zahirah yang kini berusia 10 tahun. Wujudnya satu-satu penyeri rumah tangga ini memang ada pro dan kontranya. Tapi ternyata setakat ini kami senang begini. Belum lagi merancang untuk punya anak kedua. Ada kala si Puteri kerap mendesak agar kami mencarikan adik untuknya.

Tahun ini saya sudah mencecah 35 tahun dan suami 42 . Kalau saya punya bayi lagi pasti si Puterilah yang akan menanggung adiknya kelak. Jadi, buat masa ini kami masih belum mengubah fikiran. Tetapi andai kata, sudah rezeki untuk tambah seorang dua lagi, kami redha. Buat yang selalu bertanya, "Tak nak tambah lagi ke?", itulah jawapan kami.

Akhir kata, salam hormat dan Selamat Pengantin Baru Pak Lah & isteri.

Saturday, May 26, 2007

7 Hari 5 Malam


16 Mei 2007

KUL-HKG CX 720 0955 - 1330
HKG - BEJING CX 312 1645 - 2000

5.30 pagi bertolak dari Kota Damansara ke KLIA. Hujan sangat lebat. Saya dan Zahirah tumpang kereta Azah. 6.15 tiba di Berkumpul di KLIA, tiga jam lebih awal sebelum waktu penerbangan. Kami sebenarnya menyertai team Mingguan Wanita yang mendapat tajaan syarikat ke Beijing. Jadi, memang havoc sebab semua dari Karangkraf kecuali anak saya, Kak Min, Kak Nora, Yati, Din, Kak Kiah dan Sofi selaku penganjur (Ziarah Sutera Holidays).

Dalam flight Cathay Pacific, saya mula berasa pening, angin sudah datang. 6 jam memang menyeksakan. Tapi anak saya, Zahirah relaks saja. Lebih kurang 7.30 kami tiba di Hua Fu Hotel.

17 Mei 2007
Selepas sarapan roti yang disapu marjerin dan jam serta sebiji telur rebus, kami bergerak ke Dataran Tian Aun Men dan Kota Larangan (Forbidden City). Angin bertiup kencang dan udara agak sejuk. Yang paling seronok waktu ini adalah musim bunga dan bunga mawar pelbagai warna bertaburan di sana-sini. Yang pasti Bejing adalah sebuah kota yang indah, tenang dan bersih. Meskipun terdapat 13 juta penduduk di sini, tetapi kota ini tidak sesibuk Kuala Lumpur, Bandung atau Jakarta.

Lucu bila jurupandu kami, Budi (orang China tetapi fasil berbahasa Indonesia) membawa sebuah bendera kecil - Halal Tour - teringat Halal Gel. Kami bergerak berdasarkan bendera kecil itu sebab pelancong di kedua-dua tempat tersebut sangat ramai.








Selepas makan tengah hari di restoran muslim dan solat zohor di masjid Dongsi kami meneruskan lawatan ke Pusat Pemulihan Kedoktoran Tradisional China (Pusat Kajian Herba). Doktornya pun bercakap dalam bahasa Indonesia. Di situ kami diberi penerangan tentang perubatan tradisinoal China dan diberi urutan kaki percuma jika tambah urutan bahu kami perlu membayar 30 yuan bersamaan RM15. Zahirah siap tertidur kerana budak tidak boleh berurut. Syoknya kalau dalam tidur cam minah nihhh!
Sewaktu sedang diurut, beberapa doktor bersama jurubahasa akan datang memeriksa nadi. Saya dicadangkan mengambil 2 jenis ubat jika mahu hilang angin dan bersih dari jerawat. Harganya? Antara 150 Yuan hingga 260 Yuan. Tapi saya tidak beli.
Selesai makan malam (jam 7.00 mlm) kami bertolak pulang ke hotel. Tiba di hotel campak beg dan kami merayap ke kedai-kedai dan pusat beli belah berhampiran hotel (hotel kami terletak di tengah bandar). Yahoo..time to escape!

Bersambung












Tuesday, May 15, 2007

Selamat Jalan


Countdown tak sampai sehari


Ha, esok insya-ALLAH saya akan berlepas ke Beijing. Penerbangan jam 9.30 pagi. Doakan agar kami selamat pergi dan selamat kembali. 7 hari lagi kita akan bertemu semula. Bye-bye.

Saturday, May 12, 2007

Countdown 4 hari lagi

Bahagian Akhir

PESALAH
Suasana tiba-tiba sunyi. ITR dan OKT saling berpelukan. Sayu dan hanya sendu sahaja yang kedengaran. Hakim sudah berlalu dari singah sana. Ketegangan bagaikan sudah terlerai. Tiada lagi berita sensasi yang dikejar kerana pemainnya sudah berubah. Tragedi Ronalina sudah terjawab.


Ronalina adalah mangsa keadaan. Dia menjalin hubungan intim dengan anak orang kenamaan yang sudah berkahwin. Lalu meminta OKT mengabui mata ibu bapanya. Akhirnya yang tersangka ialah OKT. Sedangkan dia sekadar menjadi orang tengah.

“Aku tak percaya!” Tegas Wartawan kepada Jurufoto.

“Percaya atau tidak, itu bukan masalah kau. Dah jom kita cari skop lain. Kalau tidak esok surat khabar tidak laku.”

“Kau ni tak ada benda lain ke nak fikir?”

“Yalah, kalau tak ada skop, nanti kita tak ada kerja. Kenapalah cerita ni berakhir macam ni. Anti klimaks betullah!” Rungut Wartawan.

“Saudara, saya ada sumber yang memberitahu bahawa perempuan tu bukan kekasih anak orang kenamaan. Tetapi bapa dia sendiri!”

“Betul ke?”

“Saudara kena siasatlah. Saya cuma dengar saja.”

“Eh, tak naklah. Kalau sumber tu tak benar, nanti tak fasal-fasal kena tidur dalam lokap. Siapa nak jaga anak bini saya? Terima kasih sajalah. Tunggulah orang lain buat laporan ni, baru saya turun padang. Kalau sorang-sorang tak berani.” Ujar Wartawan yang mengambil jalan selamat.

Kepentingan peribadinya tetap perlu diutamakan sebelum mengejar skop secara membuta tuli. Dari jauh dia nampak Manisah. Wanita itu membalas pandangannya, ada senyuman yang terukir. Tapi Wartawan tidak faham apa maknanya senyuman itu. Malah dia memang tidak mahu faham. Sedangkan bagi Manisah, dia puas kerana berjaya membuat semua orang keliru. Wartawan dan Jurufoto meneruskan langkah mencari skop terhangat.

TAMAT

Cerita 1
Bermula semalam 11 hb hingga 13 hb Mei, team Pa&Ma berkampung di Mid Valley Convention Centre di Tingkat 3 dan terletak di antara food court dan panggung wayang. Saya dan anak-anak buah berhempas pulas melayan pengunjung yang datang. Di sana kami mempromosikan buku terbaru Rahsia Anak Cerdas & Cergas bersama Pa&Ma keluaran Mei 2007. Alhamdullillah sambutan amat mengalakkan.

Selain Pa&Ma ada banyak booth dari syarikat lain yang mengambil bahagian dalam Karnival Mummy&Me pada tahun ini. Untuk pengetahuan semua, karnival ini diadakan khas untuk ibu hamil, bayi dan kanak-kanak. Memang meriah. Sesiapa yang berminat nak menyaksikan pelbagai acara menarik, jomlah ke sana.

Cerita 2
Parking rate mid valley dah naik! Dalam keseronokan bekerja di karnival, hati dirundung resah. Mana tidaknya. Rate parking di sini sudah macam rate parking majlis perbandaran. Sehari suntuk boleh jadi RM7.00 hingga RM9.00. Sekali masuk kalau hari cuti - RM3 dan setiap sejam tambahan RM1 dikenakan. Kalau masuk pukul 9.00 balik pukul 5.00, kira sajalah jumlahnya. Nak naik LRT pun lebih kurang je rasanya. Parking di Kelana Jaya RM3.00. Naik LRT dari Kelana Jaya ke Universiti lebih kurang RM2.00 (maaf anggarannya tak pasti). Lepas tu naik feeder bus terus ke lobby Mid Valley. Campur tambang pergi balik, lebih kurang samalah kosnya. Jadi, lebih selesa naik kereta...Hai serba salah jadi orang kota...hendak tak hendak kena layanlah juga segala kos yang perlu dibayar.

Cerita 3

Hari ini Yan datang jenguk kami di booth. Gembira dapat jumpa lagi. Yan ialah mantan staf Pa&Ma yang sudah bertukar kerja. Dia merindui kerja di Pa&Ma. Yalah dah biasa kerja macam adik-beradik, bila berpisah tentulah rindu. Semoga Yan tabah di tempat baru.





Wednesday, May 9, 2007

Countdown 7 Hari Lagi

Bahagian III

KONSPIRASI
ITR bergegas ke klinik. Dia mahu bercuti selama dua bulan. Kliniknya akan dikendalikan oleh dua doktor lain. ITR mahu menjalankan sendiri siasatan terhadap kes suaminya. Semalaman dia tidak tidur. Bukan memikirkan kata-kata Wanda tetapi memikirkan konspirasi yang mungkin dirancang terhadap suaminya.

ITR berkonfrantasi dengan sahabat karibnya, Osama yang kebetulan datang mencarinya di klinik.

“Aku tahu, suamiku bukan malaikat. Tapi takkan dia sanggup buat tindakan bodoh macam tu. Pasti ada orang yang sengaja mahu mengenakannya.”

“Maksud kau, konspirasi?”

“Ya! Sudah pasti. Dia tentu ada banyak musuh. Lebih-lebih lagi orang yang mahu merampas kedudukannya.”

“Ah, tapi suami kau cuma seorang ketua jabatan. Apalah sangat jawatan itu hingga ada yang sanggup nak rampas?”

“Tapi dia ada kuasa meluluskan tender. Tidak mustahil juga kalau ada yang tidak puas hati terhadap tender-tender yang diluluskan.”

“Tapi suami kau kenal benar dengan si mati. Macam mana nak kaitkan dengan orang lain pulak?”

“Kerana suami aku kenal dengan si matilah maka itu dinamakan konspirasi. Kalau tidak, tentu sukar hendak mengaitkan dia dengan pembunuhan itu.”

“Boleh pakai ke teori kau ni? Manisah, kau jangan terlalu ikutkan hati. Ini bukan Hollywood. Ini Kuala Lumpur!” Tegas Osama terhadap ITR.

“Aku akan buktikan yang teori aku ni benar. Kau kena bantu aku. Aku perlukan penyiasat persendirian yang paling cekap.”

“Yang paling cekap dah kena cekup.”

“Ahhhh....kenapalah begitu berat cabaran yang ku hadapi ini, ya Tuhan.” Akhirnya ITR berserah kepada Tuhan. Dia mengharap agar jalan terbuka luas untuknya. Dia ada tugas berat iaitu tugas untuk menyucikan maruah keluarganya yang sudah tercalar.

PERTEMUAN
Di celah-celah orang ramai, ITR ternampak seseorang. Meskipun jauh, namun kelibat orang itu memang dia kenal benar. Bukankah itu, Ronalina, yang dikatakan mati dibakar oleh OKT? Tapi bagaimana orang mati boleh hidup semula? ITR mengejib-ngejib matanya yang bulat buntang itu.

“Osama! Kau lihat itu! Bukankah aku dah kata bahawa ia satu konspirasi. Perempuan itu masih hidup. Suamiku tidak bersalah. Yahuuuuuu...suamiku tidak bersalah. Osama, cepat-cepat kita kejar perempuan itu dan bawa dia ke balai polis supaya tuduhan ke atas suamiku digugurkan!”

“Manisah! Manisah! Kenapa kau menjerit?”

“Osama, kau tak dengar ke? Aku kata Ronalina masih hidup! Itu dia, cepat kita kejar sebelum dia hilang!”

“Nanti dulu Manisah! Memang itu Ronalina. Tapi bukan dia yang suami kau bunuh!”

“Habis kalau bukan, siapa yang suamiku bunuh?”

“Anak kamu!”

“Anak ku?”

“Eh, anak aku masih hidup. Baru semalam aku jumpa mereka. Kau jangan nak tipu aku.”

“Wanie dah mati, Manisah!”

“Bohong, Wanie tak mati. Mana mungkin dia mati. Aku tak suruh orang bunuh Wanie. Aku suruh orang bunuh Ronalina!”

“Tapi, orang tu dah tersalah bunuh. Dia ingatkan Wanie tu Ronalina. Dia culik dan bunuh anak kau.”

“Habis tu kenapa suami ku yang kena tuduh?”

“Sebab dia nak selamatkan kau. Dia mengaku yang dia tersalah bunuh Wanie. Dia sebenarnya tahu yang kau hendak bunuh Ronalina.”

“Oh, tidak. Aku berdosa. Aku terlalu cemburukan perempuan itu hingga anakku sendiri jadi korban. Oh, tidak!”

“Polis dah tahu tentang itu. Suami kau akan dibebaskan. Dan kau akan ditahan. Sebab itu, kau perlu jalani pemeriksaan mental. Kalau kau disahkan mengalami gangguan mental, kau akan dilepaskan dari tuduhan membunuh.”

“Aku mungkin boleh bebas tapi aku tidak akan bebas daripada penyesalan yang akan menghantui hidupku.”

“Sabarlah Manisah, aku tahu kau tertekan kerana suami kau menjalin hubungan dengan perempuan lain. Tapi kau tidak boleh ambil jalan singkat. Membunuh bukan satu tindakan yang bijak. Lagi pun orang lain yang akan terima akibatnya.”

“Aku bersalah! Aku bersalah!”

“Mama, mama!” Tubuh ITR digegar.

“Oh, Wanda. Mama mimpi rupanya.” ITR segera beristigfar. Dadanya berombak menahan gelora. Memang mimpinya yang dialaminya itu sunggu menggerikan. ‘Terbunuh anak sendiri? Ah tidak mungkin akan terjadi,’ keluhnya sendiri.

“Mama, hari ini papa akan dibicarakan. Kita kena pergi awal ke mahkamah. Kalau tidak nanti kita tak dapat masuk.”

“Oh, papa belum dibawa ke mahkamah?”

“Belum. Papa masih dalam tahanan reman. Hari ini pihak pendakwa akan membacakan pertuduhan. Mama doakanlah agar papa segera dibebaskan kerana papa tidak bersalah. Hari-hari Wanda mohon pada ALLAH agar perkara ini berlalu segera. Wanda sedih tengok keadaan mama.”

“Kalaulah semua ini tidak berlaku.”

“Kalau ini tidak berlaku, mama dan papa akan bergaduh setiap hari kerana perempuan tu. Wanda memang harapkan dia mati!”

“Apa yang Wanda cakap ni? Wanda tak patut berniat begitu. Jangan rosakkan jiwa Wanda yang suci tu dengan kesilapan yang papa dan mama dah lakukan.”

“Wanda bukan sempurna mama. Meskipun Wanda mahukan yang terbaik dalam hidup Wanda tapi ada kalanya Wanda gagal mengawal perasaan!”

“Wanda menakutkan mama!”

-Bersambung

Cerita 1
Alhamdulillah, demam anak saya dah reda. Tapi sakit perut ini masih belum reda. Sekali sekala seperti digrip. Harap-harap penyakit ini tidak berterusan menjelang 16 hb nanti. Kalau tidak nayalah.

Cerita 2

Pa&Ma reunited. Dua mantan staf Pa&Ma kini kembali bertugas di majalah ini untuk menggantikan tempat Yan (bertugas di Jabatan Nuklear Bangi) dan Azah (Editor sebuah majalah baru terbitan Karangkraf...tunggu!!!!!)

Selamat kembali Naros& Ita.

Cerita 3

Deadline novel ke-4 semakin dekat...tapi ahghhhhhhhr aku belum siapppppp!!!!!

Monday, May 7, 2007

Countdown 9 hari lagi

Bahagian II

PULANG
Selepas prosiding mahkamah ditangguhkan, ITR pulang dengan ditemani oleh anak-anaknya. Dia lega kerana anak-anak memberikan sokongan padu padanya. Mereka memang anak-anak yang tabah. Kalau dirinya sendiri terpaksa menerima aib pada waktu yang muda begitu, tidak tahulah apa yang akan dia lakukan. ITR memang bertuah kerana ada anak-anak yang kuat.

“Lepas ni mama tidak akan memberi sebarang kerja sama dengan mereka. Dulu masa mereka mahukan bahan berita, mereka jumpa kita elok-elok Tapi bila dah jadi macam ni, mereka sanggup tulis yang buruk-buruk!” Tidak habis-habis ITR merungut. Dia masih tidak puas hati dengan layanan kumpulan Wartawan dan Jurufoto terhadap suaminya.

“Mama, kita dah tak boleh sorok lagi benda ni. Semua orang dah tahu.” Ujar Wanda yang berwajah muram. Sebagai anak sulung, Wanda perlu menunjukkan ketabahan. Adiknya Wanie, sudah lama lenyap di bilik sendiri.

ITR mengeleng tanda tidak setuju, “Tak. mereka tak boleh tahu. Mereka tak boleh jual cerita ni untuk melariskan surat khabar. Mereka kena lebih adil terhadap kita! Masyarakat perlu dididik untuk lebih beradab!

“Tapi sebelum ini pun kita tak kisah kalau berita macam tu keluar dalam akhbar.

Benda macam ni memang sudah jadi mainan media.” Wanie cuba bersikap terbuka.

“Tapi sekarang bila dah jadi pada kita, mama tahu rasa peritnya. Mama tahu rasa derita. Wanda tahu tak apa yang mama rasa ni?” Sergah ITR dalam nada sebak.

“Wanda tahu mama. Wanda pun macam mama. Wanie pun sama juga. Kami memang sedih. Tapi, sabarlah mama. Kami tahu papa tak bersalah. Papa akan dibebaskan!”

“Ya, papa akan dibebaskan tapi semuanya tidak akan macam dulu lagi Wanda.”

“Ma, lebih baik kalau kita tak macam dulu. Sebelum ini, mama sibuk, papa pun sibuk. Wanda dan Wanie terpaksa cari haluan sendiri. Tetapi lihat! Sekarang kita bersatu. Kita macam sebuah keluarga semula.”

“Wanda suka papa ditahan?”

“Siapalah yang suka papanya ditahan. Tapi kita ambil perkara ini sebagai iktibar. Mungkin sebelum ini kita lupa bahawa banyak waktu yang kita habiskan untuk mengejar dunia. Wang tak pernah cukup, mama. Tanyalah papa, pernahkah papa kata dia dah ada wang yang cukup lalu dia mahu bersara dan berehat?”

“Kenapa kamu cakap macam orang sasau ni, Wanda? Kalau tak ada wang, macam mana kita nak pakai kereta Mercedes 300 series? Macam mana kita nak duduk rumah banglo empat tingkat ini, Wanda?”

“Itulah yang Wanda cakap. Wang memang tak pernah cukup. Tak apa kalau kita terpaksa jual semuanya. Kita pindah ke rumah teres setingkat yang sederhana. Tidak perlu kita duduk setingkat seorang macam sekarang. Di rumah pun kena guna intercom kalau nak berbual. Wanda tidak mahu hidup macam tu.”

“Jadi, Wanda suka kita hidup dalam keadaan aib? Tak malu ke dulu kita hidup mewah tetapi akhirnya merempat?”

“Mama sayangkan papa ke tak?”

“Mama dah macam separuh gila ni, Wanda masih nak tanya mama soalan tu?”

“Okey kalau macam tu, kita pindah.”

“Pindah mana?”

“Ke rumah sewa yang papa beli di Kelana Jaya”

“Rumah sebelah masjid tu?”

“Ya, mama tak suka?”

“Memanglah tak suka. Kamu tahukan mama ni kerja macam mana? Dah subuh tulah mama baru nak terlelap. Tapi kalau bising macam mana mama nak tidur?”

“Mama, bising mana lebih menyakitkan? Berita tentang papa atau suara azan?”

“Tentulah berita tentang papa, kamu ni kenapa tanya mama yang bukan-bukan?”

“Mama, Wanda nak ajak mama kembali ke jalan ALLAH. Mungkin kita dah terlalu jauh terpesong. Memang ada hikmahnya kejadian ini. ALLAH suruh kita berfikir dan sentiasa kembali kepada ajaran al-Quran.

“Ah, sudahlah. Mama penat ni. Mama nak tidur.”

Wanda terkesima. Dia tidak sangka hati ibunya masih keras walau pun sedang diberi dugaan yang sangat besar ini. Apalah salahnya kalau ibunya merendahkan hati dan menyerahkan jiwa kepada ALLAH agar memohon diberikan petunjuk dan perlindungan. Andainya mereka dianiaya, semoga ALLAH akan menunjukkan kebenaran.


Bersambung

Cerita 1
Tinggal 9 hari lagi untuk saya buat persiapan. Tapi kerana kerja yang bertimbun, saya tak mampu nak fikirkannya.

Cerita 2
Dua hari tidak sempat singgah di blog. Memang letih bila terpaksa bertugas 7 hari seminggu. Hari Sabtu saya ke PWTC, kesian anak yang demam hendak ikut juga. Malam, panasnya sangat tinggi. Hari Ahad terpaksa tinggalkan dia kerana bertugas di Majlis Hari Ibu majalah Keluarga di Prince Hotel, Jalan Conlay. Demam panas anak semakin tinggi. Saya pula diserang cirit birit. Isnin sudah tidak bermaya. Saya dan anak dapat MC. Risau kalau denggi tapi alhamdulillah petang tadi suhu badannya sudah turun. Tapi walau pun MC terpaksa jugak pergi jumpa client (Cellsafe) di Mid Valley sebab dah buat appointment. Berbincang sambil menahan sakit perut....hmmm..harap-harap dia akan sign-up.

Thursday, May 3, 2007

Countdown 13 Hari Lagi

TAJUK: ISTERI TAHANAN REMAN
PENULIS: LIZA ZAHIRA


Bahagian 1


Suasana Mahkamah Tinggi menjadi higar-bigar. Wartawan dan juru gambar bergerombolan memenuhkan perkarangan mahkamah demi memagut skop terhebat agar tidak ditukah oleh editor. Terlalai sepincing bererti status mereka akan jadi rapuh. Mereka akan dicop sebagai Wartawan atau Jurufoto cabuk. Satu gelaran yang tidak dikehendaki oleh sesiapa pun.

Untuk itu, manusia-manusia kerdil itu telah bersatu menjadi satu gagasan atau benteng yang dikecam oleh orang yang kurang senang. Orang yang cerita dalam kainnya akan terserlah dek pita rakaman dan lenser kamera. Dan yang paling bencikan mereka ialah Isteri Tahanan Reman (ITR).

Tapi bagi Wartawan dan Jurufoto, itu semua tidak penting. Yang utama mereka mahukan skop. Itu adalah jaminan periuk nasi mereka untuk diri dan keluarga – satu tugas yang di mana-mana pun sama tuntutannya. Mereka bertanggung jawab untuk mendapatkan skop yang sama atau lebih baik daripada akhbar pesaing.

Kebejatan manusia menjadi satu cabang bisnes melariskan surat khabar. Entah kenapa manusia jadi suka pada berita-berita sensasi. Dulu sebelum suaminya ditahan, ITR pun suka membaca kisah-kisah begitu. Tapi kini, tiap pagi menatap surat khabar atau menonton berita hatinya disayat kebencian!

“Cukup! Suamiku tidak bersalah. Dia dianiaya!” Jerkah ITR kepada kelompok manusia kerdil yang tercangak-cangak mencari sudut yang sesuai. Masing-masing terjeda sesaat tetapi sebaik sahaja black maria muncul, mereka berkejar semula. Lupa sudah pada ITR. Tunggang langgang hingga ada yang terjatuh dan patah gigi. Tak apa kalau dapat bonus kerana jualan akhbar laris, boleh buat gigi baru. Teknik crowning boleh digagahi kerana bonus 10 bulan bukan sedikit.

Orang Kena Tuduh (OKT) tertunduk-tunduk menutup muka kerana malu. Kenapa hendak malu? Dia belum didapati bersalah pun. Tetapi sudah pasti dia tetap rasa malu kerana kisah sensasi dan aib keluar di dada akhbar yang dikaitkan terhadap dirinya. Dalam berpusu-pusu, OKT ditolak ke dalam dewan bicara. ITR pun sudah siap berada di situ sejak awal.

OKT menoleh ke arah ITR. Pandangan hiba bertukar menjadi berkaca. Ada air mata yang menitis. “Sabarlah sayang, semua akan berjalan lancar,” ujar ITR kepada OKT. Mereka berdakapan seketika. Peluang begini sangat berharga kerana pada waktu lain, mereka tidak dapat bersentuhan. Terubat rasa rindu dikalbu. ‘Kelompok kerdil tadi mana tahu?’ Jerit hati ITR. Mereka tidak memahami kesengsaraan yang dialami oleh ITR dan OKT. Dalam kepala mereka hanya ada skop dan skop. Itu sahaja!

Tetapi kenapa Wartawan dan Jurufoto berebut-rebut hendakkan skop di situ. Apa istimewanya kes itu? Menurut ceriteranya, OKT ini dulunya adalah orang berpengaruh atau disebut Very Important Person (VIP). Maka sudah semestinyalah dia dikejar lenser kamera dan recorder ke mana sahaja dia berada.

Hakim muncul, dewan senyap sunyi. Pertuduhan dibacakan. Peguamcara dan peguambela memainkan peranan. Apakah perasaan peguamcara dan peguambela pada waktu ini tatkala melihat ITR dan OKT? Mereka pun tidak mahu faham kerana mereka berada di situ demi tugas. Mereka perlu profesional. Perbicaraan tidak mengambil kira perasaan tetapi bukti terhadap tulang-temulang yang sudah rentung!

Malangnya OKT tidak lagi boleh berbicara untuk mengeluarkan ideanya sendiri. Suaranya kini diwakilkan kepada Peguambela yang sebelum ini entah dia kenal entah tidak. Peguambelalah yang akan menentukan nasibnya terbela melalui hujah-hujah yang membunuh pihak lawan. Biar Peguamcara terkehel idea untuk mewujudkan bukti yang munasabah terhadap OKT.

Pada waktu itu nanti, Hakim akan memberi pandangan bahawa wujud keraguan munasabah terhadap kes tersebut dan OKT dibebaskan tanpa syarat. Sehinggalah pihak pendakwa mendapatkan bukti lain dan seterusnya memfailkan semula kes. Tapi kalau dah bebas, bukan mudah hendak menyusun bukti baru. Ramai yang sudah bebas dengan cara ini dan masih lagi belum didakwa.

Itulah harapan ITR. Suaminya tidak perlu menjawab sebarang tuduhan cuma cukuplah kalau pihak peguambela berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Tetapi itu pun tidak enteng juga kerana ITR yang merupakan seorang doktor tahu bahawa episod malangnya akan berterusan.

Orang akan tetap mengecap suaminya “jahat” walau pun tiada pendakwaan yang berjaya dilakukan. Sesungguhnya mahkamah masyarakat lebih menggerunkan berbanding mahkamah tinggi. Stigma buruk akan lekat di hati mereka untuk satu tempoh yang panjang.

- bersambung

Cerita 1:
Mengapa 13 hari lagi? Biarlah saya rahsiakan dahulu tentang apa yang akan berlaku pada 16hb Mei 2007 kerana kita hanya merancang dan ALLAH SWT yang akan menentukan. Walau apa pun saya berharap agar semuanya berjalan seperti yang dirancang. Ia bukan sesuatu yang terlalu istimewa tetapi amat bermakna kepada saya.

Cerita 2:
Tiba-tiba perkataan SPECIAL RUN mulai mengambil tempat di bibir staf Karangkraf sejak pagi hinggalah ke petang tadi. Pelbagai persoalan dan beberapa emel penjelasan telah diterima untuk menenangkan keadaan. Rupa-rupanya special run itu adalah catatan imbangan debit dan kredit dalam payslip. Ingatkan Chicken Run tadi hihihi. Teringat dulu waktu belajar perakaunan dulu, cacatan macam tu dipanggil kontra. Tak tahu pula dah ada istilah baru :)

Cerita 3:
Sudah dua hari saya tidak datang ke PWTC. Tetapi banyak acara yang telah berlangsung dan dengarnya orang ramai tetap berpusu-pusu ke sana untuk mendapatkan buku-buka, majalah-majalah dan hadiah. Memang banyak booth yang menawarkan aktiviti permainan dan cabutan bertuah untuk para pengunjung. Yang penting pokcik boleh tersenyum lebar.

Sunday, April 29, 2007

Bila anda menulis?

Masa & Ruang

Bila anda menulis? Selepas anak-anak tidur atau sebelum mereka bangun dari tidur? Adakah anda menulis di tengah malam atau pada waktu subuh? Adakah anda menulis sebelum anak-anak ke sekolah, selepas anak-anak pulang dari sekolah atau sewaktu mereka berada di sekolah? Di mana anda menulis? Di dalam pejabat, di bilik hotel atau di bawah pohon yang rendang?

Jika anda bertuah, anda boleh memiliki tempat yang khas dan tidak diganggu. Jika tidak, anda hanya akan menulis apabila ada berpeluang melakukannya. J.K Rowling menulis di Kedai Kopi Edinburgh sewaktu bayinya sedang lena. Penulis British, Magnus Mills yang menulis novel The Persistence of Beasts pernah bekerja sebagai pemandu bas. Mills menulis rangka ideanya di belakang borang kerja lebih masanya sewaktu basnya berhenti di lampu isyarat (merah)!

Dalam buku bertajuk In Becoming A Writer, Dorothea Brande mencadangkan satu latihan: Ambil satu masa dan duduk serta menulis setiap hari. Jika berhari-hari anda masih gagal melakukannya, bererti anda sanggup mengutamakan hal lain berbanding menulis. "If you fail repeatedly at this exercise, give up writing!"

Anda perlu menanam disiplin dalam meluangkan masa berharga anda setiap hari untuk bekerja keras. Jadi, memang logik kalau anda anggap tugasan menulis sebagai satu daripada kerja harian atau urusan bisnes! (Diterjemah dari buku The Writer's Mentor)

Pulang dari PWTC hari ini, semangat untuk menulis sesuatu terus membara. Saya perlu meluahkan perkara yang terbuku di hati. Saya perlukan motivasi. Lalu saya ambil kembali buku yang dah bertahun-tahun di rak buku iaitu The Writer's Mentor. Buku itu saya tatap dan temui perkara yang hendak saya ketengahkan iaitu semangat MENULIS SETIAP HARI!

Mengapa hal ini timbul? Pertama, saya bertemu dengan peminat novel dari Singapura, Puan Salmah Ismail. Beliau telah menitipkan kata-kata yang amat bermakna buat saya. Beliau benar-benar menghayati novel saya, Bahtera Kasih. Dalam hati saya berkata, "Oh, Tuhan saya berasa sangat bahagia dan terharu!" Ternyata beliau telah meniupkan semangat untuk saya terus berkarya. Terima kasih Salmah.

Kedua, saya duduk di sebelah penulis baru, Meen Zulaikha. Seorang ibu yang sudah punya anak remaja dan suri rumah tangga. Beliau bertanya, bila masa saya menulis? Saya menjawab, "Malam dan hujung minggu." Benar, tetapi saya akui bukan SETIAP HARI! Tetapi saya sedar itu BUKAN standard sebenar seorang penulis. Saya tidak mahu berhenti daripada menjadi penulis. Sebelum ini saya menulis mengikut kesempatan ruang & waktu. Jadi, saya perlu menulis SETIAP HARI! Ya ALLAH, Perkenankanlah!


Friday, April 27, 2007

Demam Pesta Buku Bermula


Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (KLIBF) yang ke-26 sudah pun bermula hari ini, 27 April hingga 6 Mei 2007.

Waktu beroperasi Isnin - Khamis 10.00 am - 7.00 pm. Jumaat - Ahad & Cuti Umum 10.00 am - 10.00 pm. Masuk PERCUMA
Hati- hati kerana terdapat beberapa DEWAN yang terlibat iaitu Dewan Tun Hussein Onn, Dewan Tun Dr. Ismail, Legar Putera, Tun Razak Hall 3 dan Tun Razak Hall 4.
Untuk makluman semua Karangkraf dan Alaf21 berada di Dewan Tun Dr. Ismail iaitu keseluruhan dewan tersebut yang terdiri daripada 53 buah booth. Untuk masuk ke situ anda perlu gunakan pintu masuk utama di Ground Floor PWTC atau pun pintu masuk di sebelah Hotel Pan Pacific. Kemudian carilah Dewan Tun Dr. Ismail.
(Tip nak ingat senang saja, dulu pejabat Karangkraf dan Alaf terletak di Taman Tun Dr. Ismail sebelum berpindah ke Shah Alam. Jadi ingat saja Taman Tun Dr. Ismail pasti anda akan ingat nama Dewan tu.)
Team Karangkraf dan Alaf21 sudah bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk anda semua. Sebagai salah seorang ahli keluarga Karangkraf dan Alaf21, saya pun akan turut berada di sana untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan dan para peminat buku dan majalah. Ada banyak tawaran harga istimewa dan hadiah disediakan terutama untuk Kempen Langganan dan Cabutan Bertuah. Majalah Pa&Ma pun ada di sana!
Fakta tentang KLIBF yang perlu anda tahu
1. Sebanyak 600 booth disediakan dengan 183 penerbit/pempamer yang terlibat berbanding tahun lalu hanya 530 booth dengan 150 penerbit/pempamer.
2. Negara terlibat -United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Mesir, German, Hong Kong, Brunei, Thailand, India, Filipina, Indonesia, Vietnam, Singapura dan tentulah peserta Tuan Rumah.
3. Terdapat 63 jenis aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang 10 hari Pesta.
4. Genre yang terlibat - Kanak-kanak, Pendidikan, Keagamaan, Pengajian Tinggi, Teknologi, Sains, NOVEL, MAJALAH dan umum.
Untuk maklumat lanjut klik

Tuesday, April 24, 2007

Mari belajar

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui pelbagai cara iaitu:
1. Malaikat Jibril "memasukkan" wahyu itu ke dalam hati Rasullullah tanpa memperlihatkan wujudnya. Ia secara tiba-tiba berasakan wahyu itu telah berada di dalam hatinya. Nabi SAW mengatakan hal ini: "Rohulkudus mewahyukan ke dalam kalbuku".

2. Malaikat Jibril menampakkan dirinya kepada Nabi SAW sebagai seorang lelaki dan mengucapkan kata-kata di hadapannya, sehingga dia cepat mengetahui dan menghafal ayat-ayat yang disampaikannya itu.

3. Wahyu itu turun kepada Nabi SAW seperti bunyi gemerincing loceng. Cara ini dirasakan oleh Rasulullah SAW sebagai yang paling berat sehingga dia mencucurkan keringat, meskipun wahyu itu turun di musim yang sangat dingin. Apabila Nabi SAW sedang mengenderai unta, maka ketika itu juga untanya terpaksa berhenti dan duduk kerana terasa amat berat.

4. Malaikat Jibril menyampaikan wahyu dengan menampakkan wujudnya yang asli (surah An-najm ayat 13 dan 14).

Setiap kali menerima wahyu. Nabi SAW lalu menghafalkannya. Hafalan tersebut diawasi oleh malaikat Jibril. Selain itu, Rasulullah SAW turut membacakannya di hadapan para sahabat. Di samping menyuruh para sahabat menghafalkan ayat-ayat yang diajar, Nabi SAW turut memerintahkan mereka yang pandai menulis untuk menuliskannya di atas pelepah-pelepah kurma, kepingan batu dan tulang. Sahabat yang pandai menulis sangat berhati-hati dalam menuliskan ayat-ayat ini. Hal ini didorong oleh keyakinan mereka bahawa Al-Quran adalah firman ALLAH SWT yang harus dijadikan pedoman hidup, sehingga perlu dijaga dengan baik. Ketika di Madinah, Rasulullah SAW memiliki beberapa juru tulis, di antara yang terkenal ialah Zaid bin Sabit. (Petikan daripada buku Petanda Keagungan tulisan Nazri Zakaria)

Begitulah sebahagian daripada proses wahyu/ilmu yang diturunkan ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW. Penuh dengan ketakwaan, berlapang dada dan berhati-hati. Sesungguhnya proses mencari ilmu memang mengasyikkan jiwa. Makin banyak yang kita tahu maka makin banyak pula yang belum terungkap. Jangan mudah menyerahkan kalah. Semua ilmu adalah milik ALLAH walau pun disampaikan oleh orang bukan Islam. Jangan lari daripada hakikat bahawa yang mengetahui itu lebih baik daripada yang tidak tahu. Tidak hina orang yang bertanya dan tidak mulia orang yang menyimpan ilmu untuk dirinya sendiri. Wallahualam.

Monday, April 23, 2007

Penyakit Rohani

Penyakit rohani yang dianggap berbahaya ialah penyakit "keras hati". Di antara tanda-tanda penyakit keras hati itu ialah apabila tidak berasa gerun dan bersalah apabila melakukan maksiat dan tidak berasa seronok bila melakukan taat, tidak berasa gerun dengan neraka dan tidak teringin terhadap syurga, tidak berasa benci berkawan dengan syaitan atau iblis dan sebaliknya tidak berselera mendekati malaikat. - {Petikan dari buku Insan, Ingatlah! - tulisan Nik Abdul Aziz Nik Mat}

Benar dalam banyak kerumitan di dunia ini, hatilah yang paling sukar untuk dididik. Kita rasa kita baik tetapi sebenarnya belum cukup baik. Kita rasa kita tak jahat tapi sebenarnya sangat jahat. Mulut, lidah, tangan, kaki, fikiran, telinga, hidung dan kemaluan semuanya perlukan didikan. Semuanya boleh memacu ke arah kebaikan tetapi jika hati enggan, natijahnya yang lain boleh mengikut syaitan. Wallahualam.

Sunday, April 22, 2007

Perancangan Kewangan

Benda ini memang sudah lama berlegar dalam kepala saya. Banyak buku-buku perancangan kewangan yang saya baca. Daripada Azizi, Rosli hinggalah kepada Aziz Ibrahim dan saya rasa amat rugi kerana lambat mengetahui tentang Aziz dan bukunya yang bertajuk Lebuhraya Baru Kebebasan Kewangan yang sudah diterbitkan sejak 2005. Untuk mengetahui lebih lanjut kehebatan buku dan manusia ini, dapatkanlah sendiri buku tersebut dan ikuti laman web asasteguh.com. Semoga anda akan mendapat manfaat yang sewajarnya. Selamat membaca.

Saturday, April 21, 2007

21 April 2007

Salam perkenalan
Hari ini blog saya telah siap untuk diperagakan di persada layar maya ini. Terima kasih buat suami yang sanggup bersengkang mata merealisasikan kewujudan blog yang tidak sepertinya ini. Saya akan cuba menjadikan blog ini sebagai salah satu blog yang banyak memberikan informasi kepada semua pengguna internet di luar sana.